‘Setiap pemimpin dalam parti perlu main peranan masing-masing’

A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim menyifatkan UMNO perlu mempunyai matlamat jelas yang sepatutnya ditonjolkan dan bukannya menonjolkan mana-mana individu.

Menurutnya, kekuatan parti itu turut dipengaruhi pemimpin berpengalaman, dukungan para penyokong serta kesejahteraan yang dibawa bersama, berbeza dengan segelintir parti lain yang dilihat tidak dapat membawa kemakmuran dan keharmonian kerana tiadanya kestabilan serta bersikap dendam antara mereka.

“Parti-parti lain hanya bersandarkan kepada individu kerana kekurangan yang ada pada parti mereka. UMNO mempunyai matlamat dan struktur yang jelas. Maka UMNO yang patut ditonjolkan bukannya mana-mana individu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut katanya, kekuatan dimiliki pemimpin-pemimpin UMNO itu perlu digandingkan bersama di samping menjauhi kelemahan yang merugikan.

“Ditambah dengan sokongan rakan-rakan dalam BN yang menguatkan lagi peranan dan sumbangan dalam membangunkan negara (sebelum ini).

“Yang mustahak ia telah memberi sebuah kerajaan stabil dan menghasilkan kemakmuran serta keharmonian di kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pula yakin bahawa bekas Presiden UMNO itu meletakkan keutamaannya ketika ini untuk melalui proses perundangan di mahkamah bagi membersihkan imejnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya bersih dan didapati tidak bersalah di mahkamah, ia sekali gus membuktikan apa yang dilalui Najib selama ini adalah fitnah dan tuduhan tidak berasas yang sewajarnya maruah dan harga dirinya dikembalikan melalui mahkamah juga.

“Saya nampak Datuk Seri Najib sendiri meletakkan perkara itu sebagai keutamaannya bagi membersihkan dirinya daripada segala tuduhan yang dibuat oleh pemimpin daripada pihak kerajaan yang lalu.

“Itu adalah lebih utama pada Datuk Seri Najib dan saya yakin, kalau ia berlaku seperti mana yang kita harapkan, Datuk Seri Najib dibersihkan (daripada tuduhan) seharusnya beliau diberikan peranan lebih besar.

“Jadi bagi saya kalau beliau bersih, bebas daripada hukuman di mahkamah, tidak didapati bersalah dengan tuduhan maka Datuk Seri Najib wajar diberikan peluang yang lebih besar (dalam parti),” katanya.