X

Kindly register in order to view this article
!

Homestay jadi pusat simpan, bungkus dadah!

Hanyan menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam sidang media, di IPD Kemaman, di, sini, hari ini
A
A

KEMAMAN - Sekumpulan pengedar dadah menjadikan inap desa sebagai pusat menyimpan dan membungkus dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan di sekitar daerah ini terutama di kawasan Bukit Kuang di sini sejak beberapa bulan lalu.

Taktik digunakan pengedar dadah dikenali 'Geng Bukit Kuang' itu terbongkar apabila lima daripada mereka berjaya ditangkap dalam tiga serbuan di lokasi berasingan.

Dalam serbuan itu pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM35,748 turut dirampas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Baru Felda Neram di sini, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam itu, turut dirampas 17 gram heroin yang diisi di dalam tiga botol plastik cerah bertudung kuning dan 12 gram heroin di dalam satu paket plastik cerah yang bernilai keseluruhan RM4,500.

"Siasatan mendapati suspek yang masih bujang memiliki tiga rekod kesalahan lampau termasuk dua kes dadah dan satu kesalahan jenayah.

"Selain itu, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang juga seorang penganggur positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kemaman di sini hari ini.

Hanyan berkata, dalam serbuan kedua pula di sebuah inap desa di Jalan Air Putih Kampung Jaya, Chukai di sini tengah malam semalam, dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 30 tahun ditahan.

"Serbuan kira-kira jam 12 tengah malam itu turut berjaya merampas 1,200 biji pil kuda dan tiga peket syabu seberat 1.96 gram yang bernilai keseluruhan RM25,000.

"Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek berstatus duda itu masing-masing memiliki rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah methamphetamine dan siasatan awal mereka mengaku memperoleh dadah berkenaan dengan pembekal di Marang dan Kemaman," katanya.

Menurut Hanyan, serbuan ketiga pula dilakukan jam 12.30 pagi tadi di sebuah inap desa di Kijal di sini dan menahan dua beradik masing-masing berusia 20 dan 39 tahun bersama satu paket syabu bernilai RM6,248.

Jelasnya, hasil tangkapan kelima-lima suspek ini, pihaknya turut menyita sebuah motosikal jenis Honda RS 150 bernilai RM9,000, sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernilai RM40,000 dan sebuah motosikal Yamaha Legenda 110 bernilai RM3,000.

Kesemua kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 39A (2) ADB 1952.

Sementara itu, Hanyan berkata, siasatan mendapati kelima-lima suspek ditahan ini saling tidak mengenali bagaimanapun mereka dipercayai dalam kumpulan yang sama.

"Kita percaya kumpulan ini makin aktif dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana permintaan yang tinggi dan harga ditawarkan di pasaran berganda.

"Sebagai contohnya pil kuda jika harga biasa RM10 sebiji tetapi dalam tempoh PKP mencecah RM25 sebiji," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!