Inap desa tawar pakej Cuti-Cuti Cikgu serendah RM60 seorang

Pakej inap desa di Sungai Besar Selangor turut menawarkan penginapan bagi kumpulan besar dengan jumlah 25 hingga 200 orang tetamu dengan kadar RM65 seorang, lengkap dengan aktiviti lawatan. - Gambar hiasan
Pakej inap desa di Sungai Besar Selangor turut menawarkan penginapan bagi kumpulan besar dengan jumlah 25 hingga 200 orang tetamu dengan kadar RM65 seorang, lengkap dengan aktiviti lawatan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia menawarkan lima pakej Cuti-Cuti Cikgu dengan harga serendah RM60 seorang melibatkan lima inap desa terletak di Melaka, Selangor dan Perak.

Menerusi hantaran poster yang dimuat naik di Facebook persatuan itu, pakej yang ditawarkan meliputi penginapan selama dua hari satu malam dengan konsep merasai sendiri kehidupan dan cara hidup di desa.

Salah satu pakej di Ayer Limau, Melaka berharga RM60 seorang dengan jumlah minima tetamu seramai dua orang, antara lain menawarkan penginapan bersama hos.

Selain itu, terdapat juga pakej dengan harga sama dan daerah sama menawarkan minima tempahan untuk empat orang.

Sementara itu, terdapat pakej inap desa di Sungai Besar Selangor menawarkan penginapan bagi kumpulan besar iaitu berjumlah 25 hingga 200 orang tetamu dengan kadar RM65 seorang, lengkap dengan aktiviti lawatan.

Turut ditawarkan harga pakej bernilai RM199 seorang untuk pelajar warga kota, lengkap dengan pelbagai aktiviti bagi mengenali budaya, tradisi dan kehidupan desa.

Dalam pada itu, pakej inap desa di Kuala Kangsar, Perak ditawarkan dengan harga RM490 seorang dengan minima tetamu seramai 40 orang, yang turut termasuk kos pengangkutan bas dan juga tren elektrik (ETS).

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan Program Cuti-cuti Cikgu Mampu Milik sebagai 10 inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memperkasakan lagi aspek kebajikan golongan pendidik di negara ini.

Ia terkandung dalam penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 dan program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik dengan menyediakan pakej percutian istimewa kepada guru.

Langkah itu juga sebagai usaha untuk memberi semangat baharu kepada guru, sekali gus dianggap hadiah kepada golongan itu sempena sambutan Hari Guru tahun ini.