Cermin kereta Ketua AMK Pulau Pinang pecah dibaling batu

Cermin depan kereta milik Fahmi pecah dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.
Cermin depan kereta milik Fahmi pecah dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Cermin bahagian hadapan kereta milik Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol pecah dibaling batu dipercayai angkara khianat dalam kejadian di hadapan rumahnya di Kampung Baru di sini pagi tadi.

Insiden itu disedarinya jam 9 pagi tadi ketika mahu keluar ke tempat kerja dan mendapati terdapat ketulan batu di bahagian cermin yang retak.

Fahmi bagaimanapun menyerahkan kes itu kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut.

"Saya tidak tahu siapa yang melakukan dan apakah tujuan sebenar mereka bertindak seperti ini.

"Sepanjang penglibatan dalam politik ini pertama kali kejadian seperti ini berlaku dan sekiranya ia dibuat bagi tujuan untuk menakut-nakutkan saya ia adalah perbuatan melampau dan kuno yang mungkin mahu melemahkan semangat saya daripada terus berjuang dalam politik mahupun kerjaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Fahmi yang juga Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berkata, budaya samseng dan politik ganas seperti ini tidak sepatutnya berlaku pada zaman ini sebaliknya banyak cara lain yang boleh digunakan sekiranya terdapat perselisihan faham atau tidak berpuas hati.

Cermin depan kereta milik Fahmi pecah dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.
Cermin depan kereta milik Fahmi pecah dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.

Katanya, masyarakat kini bijak menilai semua perkara termasuk cara berpolitik, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat dan cara menangani masalah yang berlaku, namun tindakan sedemikian bukan penyelesaian yang baik kerana ia hanya provokasi jenayah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dalam satu kenyataan di sini mengecam perbuatan khianat itu.

"Satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah hari ini dan pihak yang terlibat dengan apa-apa jua motif perlu diheret ke muka pengadilan untuk tindakan yang sewajarnya.

"Setiap warganegara wajib mendukung undang-undang negara dengan penuh rasa tanggungjawab dan saya berharap kejadian khianat seperti ini tidak diulangi oleh mana-mana individu atau kumpulan," katanya.

Jumaat lalu Fahmi mengkritik dan memberi peringatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin agar tidak memanipulasi kenyataan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang untuk meraih simpati dan mengelirukan orang ramai.

Beliau berkata, Dr Afif sengaja mahu memburukkan imej Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang dengan mendakwa penyingkirannya sebagai ADUN kerajaan negeri yang dilakukan sebelum ini sebagai berat sebelah dan tidak demokratik.