X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak sah solat Jumaat di tempat tidak dibenarkan pemerintah

Solat Jumaat yang didirikan di tempat tidak dibenarkan oleh ulil amri atau pemerintah adalah dianggap tidak sah.
A
A

SHAH ALAM - Solat Jumaat yang didirikan di tempat tidak dibenarkan oleh ulil amri atau pemerintah adalah dianggap tidak sah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, tindakan itu juga adalah bertentangan dengan enakmen pentadbiran yang sedang berkuat kuasa di negeri ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang telah menunaikan solat Jumaat selain dari tempat ditentukan oleh ulil amri perlu menggantikan (qada) semula dengan solat Zuhur.

"Larangan ini bertepatan dengan Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 (EPAINS 2003) berhubung sekatan penubuhan masjid dan penalti.

“Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada majlis mendirikan apa-apa bangunan untuk digunakan atau menggunakan atau menyebabkan supaya digunakan mana-mana bangunan bagi perkara yang hanya boleh dilakukan di atau oleh masjid," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes
Mohd Tamyes

Mengulas lanjut, Mohd Tamyes berkata, terdapat sebilangan kecil umat Islam di negeri ini mendirikan solat Jumaat di premis yang tidak mendapat kebenaran pemerintah (pihak berkuasa) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, mana-mana pihak yang melanggar peruntukan subseksyen (1) boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

"Mazhab Imam Shafie dalam qaul qadimnya berpandangan bahawa tidak sah menunaikan solat Jumaat tanpa izin ulil amri (pemerintah),” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus