Lelaki warga India ditemui mati

Shamsul Amar Ramli
Shamsul Amar Ramli
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki warga India ditemui maut dengan kesan berlumuran darah di tepi jalan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mayat mangsa ditemui selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 4.12 petang.

Menurutnya, siasatan dijalankan di tempat kejadian bersama bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati mangsa berusia 21 tahun disyaki warga India selain dikesan tidak mempunyai kesan suntikan BCG.

"Pemeriksaan pada badan mangsa dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian dada sepanjang lima inci dan belakang badan sepanjang empat inci.

"Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian turut menjumpai satu topi keselamatan berhampiran mangsa dan tali keselamatan terlilit di badan mangsa," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada mangsa dibunuh atau terlibat kemalangan di tempat kerja.

Katanya, setakat ini kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan: