Hayati, kukuhkan 'Kerangka Governans Baru': Saifuddin

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengajak semua pihak menghayati dan mengukuhkan 'Kerangka Governans Baru', satu pendekatan berkonsepkan kepimpinan kolektif dan inklusif melibatkan kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat sivil.

Beliau berkata, kaedah terpenting melaksanakan kerangka itu ialah dengan mewujudkan platform perundingan (contohnya, majlis perundingan, jawatankuasa perundingan dan sebagainya) dalam semua bidang dan di setiap peringkat (contohnya, nasional, negeri, daerah dan kampung).

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, rakyat menolak kepimpinan yang bersifat mendominasi dan diktator serta tidak mahu dianggap sekadar ‘penerima manfaat’ semata-mata, sebaliknya mereka mahu diiktiraf sebagai ‘penyumbang’.

“Rakyat atau pemegang-pemegang taruh di luar institusi kerajaan mahu diterima sebagai ‘rakan kongsi pembangunan’ bersama-sama dengan kerajaan.

“Kini, kita sedang berada dalam ‘fasa ketiga demokrasi’ di mana rakyat dan pemegang-pemegang taruh mahu supaya proses membuat keputusan diperluaskan. Inilah kefahaman saya tentang syura’ (perundingan),” katanya dalam hantaran ‘Merentas Ruang’ bertajuk ‘Mengukuh Kerangka Governans Baru (Kerajaan, Perniagaan dan Masyarakat Sivil)’ di laman Facebook beliau hari ini.

Mengilustrasikan tiga gelang logo Olimpik yang sama saiz dan saling terangkum sebagai analogi kerangka governans, beliau berkata, tiga gelang berkenaan melambangkan tiga sektor utama pembangunan, iaitu kerajaan, perniagaan (swasta) dan masyarakat sivil.

Saifuddin turut berkongsi pengalamannya dalam platform perundingan yang pernah dianggotainya iaitu Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), Majlis Pembangunan Ekonomi Negara Kedua, Majlis Teknologi Maklumat Negara dan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara serta Majlis Perundingan Dasar Luar ketika beliau menerajui Kementerian Luar Negeri.

Bagi tujuan sama, beliau berkata, Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia akan dilancarkan pada 9 Jun dengan pendekatan sama dilakukan dalam dua pasukan petugas yang dipengerusikannya iaitu Ekonomi Digital dan Industri Kreatif.

Artikel Berkaitan:

Walaupun semakin ramai telah mengamalkan perundingan, beliau berkata masih ada yang kurang memahaminya dan keputusan perundingan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Apa yang lebih buruk ialah adakalanya perundingan itu dibuat sekadar untuk pameran atau perhubungan awam sahaja. Ini kerana keputusan yang sebenar dibuat di platform lain. Kita hendaklah memperbaiki keadaan ini," katanya.

Saifuddin menegaskan untuk kerangka governans baharu berjalan baik, semua pemegang taruh perlu memahami dan mematuhi beberapa perkara di mana asasnya ialah perundingan yang melibatkan empat elemen penting: ‘pemberdayaan’, ‘perwakilan’, ‘partisipasi’ dan ‘deliberasi’. - Bernama