Bersatu Kuala Kedah sokong Muhyiddin

Sebanyak 18 cawangan Bersatu Kuala Kedah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebanyak 18 cawangan Bersatu Kuala Kedah menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
A
A
A

ALOR SETAR - Sejumlah 18 daripada 22 cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Kedah memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wakilnya, Harun Abdullah berkata, cawangan terbabit memberi sokongan demi memastikan nasib 2,000 ahli Bersatu di bahagian Kuala Kedah terbela dengan suasana politik lebih baik.

Katanya, selama ini, mereka bagaikan layang-layang terputus talinya dengan ketiadaan ketua bahagian dan setiausaha yang melepaskan jawatan dan pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) baharu belum dapat dilaksanakan akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Sebahagian cawangan Bersatu seolah-olah tiada arah tuju tanpa pucuk pimpinan memimpin kawasan berkenaan sebelum ini, selain juga merasakan terpinggir dan tidak dipedulikan.

"Kami sekadar ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri dan menyatakan sokongan terhadap segala bentuk tindakan dilakukan beliau, sekali gus mengharapkan arus politik lebih baik dan terus terbela," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Katanya, pihaknya turut berharap kemelut kepimpinan parti yang berlaku ketika ini yang dilihat tidak berkesudahan hingga memberi kesan kepada akar umbi dapat diselesaikan segera.

"Jadi, sebahagian cawangan misalnya Kampung Baru, Taman Sri Putra, Kampung Tengah, Sungai Baru, Padang Hang, Seberang Kota, Taman Aman, Alor Madi, Alor Ganu dan Kubang Raja tampil menyatakan sokongan itu,"katanya.

Menurutnya, beliau mengakui tidak memiliki sebarang jawatan dan sekadar calon Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kedah, namun menerima persetujuan dan sokongan sebahagian besar cawangan untuk menerajuinya.

Artikel Berkaitan:

Pandangannya turut disokong oleh Rizuan Ramli yang turut mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, pihaknya menyatakan sokongan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad dari Bersatu dalam kerajaan PN di Kedah.

Katanya, cawangan Bersatu Bahagian Kuala Kedah berkenaan juga menyokong Harun untuk menjadi Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kedah demi menyelesaikan kemelut berlaku.