Buka semula masjid kepada umum

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SEHINGGA semalam, Arab Saudi mencatatkan jumlah jangkitan positif Covid-19 hampir 84,000 orang, manakala kematian sebanyak 480 orang. Dan setelah lebih dua bulan ditutup, Masjid Nabawi di Madinah dibuka kepada umum untuk solat berjemaah.

Pembukaan semula rumah ALLAH tersebut memberikan kegembiraan kepada umat Islam yang rindu untuk beribadat di masjid yang didirikan oleh Nabi Muhammad SAW pada 622 Masihi itu.

Bahkan rata-rata umat Islam melihat pembukaan tersebut sebagai sinar kepada umat Islam di negara lain untuk kembali mengimarahkan masjid dan surau dengan normal baharu.

Ketika siaran langsung solat Subuh terus dari Masjid Nabawi, dapat dilihat jemaah mengamalkan penjarakkan sosial dengan solat dalam saf tetapi tidak rapat seperti sebelum ini, membawa sejadah sendiri dan memakai topeng muka.

Jemaah juga tidak berhimpit-himpit sebelum dan selepas solat kerana mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Begitu juga di Baitulmaqdis, Masjid al-Aqsa telah dibuka dan kira-kira 700 jemaah menunaikan solat Subuh berjemaah semalam.

Negara Malaysia, dengan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 7,819 dan kematian sejumlah 115 orang perlu mempertimbangkan untuk membuka semula kepada umum solat berjemaah di masjid dan surau bermula pada 10 Jun ini.

Pihak berkuasa majlis agama negeri-negeri sewajarnya mempertimbangkan kewajaran berkenaan berdasarkan kepada kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia adalah rendah.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, jemaah yang selalu ke masjid dan surau adalah golongan yang berdisiplin dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Jemaah juga diyakini akan memastikan segala langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya supaya tiada jangkitan Covid-19 berlaku di kariah masing-masing.

Semoga dengan pembukaan semula kepada umum, semangat juang untuk menamatkan Covid-19 di Malaysia akan bertambah kuat dengan pertolongan ALLAH SWT.