X

Kindly register in order to view this article
!

'Maafkan abah tak dapat tolong'

Mohd Sabri ketika pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 4&5 hari ini. Gambar kecil: Nur Nazihah
A
A

DUNGUN - Bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat terkena lebih 60 sengatan tebuan dalam kejadian di Felda Kerteh 4, Jumaat lalu meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat menyelamatkan anaknya.

Mangsa, Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, meninggal dunia awal pagi tadi kira-kira jam 1.30 pagi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, adiknya Muhammad Azib, 6, yang turut disengat tebuan dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di hospital berkenaan.

Bapanya, Mohd Sabri Mohd Nor, 41, berkata, beliau tidak bersama anaknya ketika kejadian kerana berada di rumah ibunya di Bandar Paka.

"Masa kejadian tu saya sedang membaiki dapur di rumah ibu saya manakala lima anak termasuk Nur Nazihah dan Muhammad Azib tinggal bersama isteri di rumah di Felda Kerteh 4.

"Saya terkejut bila isteri telefon beritahu dua anak saya disengat tebuan dan ada banyak kesan gigitan pada badan Nur Nazihah.

"Saya pun minta isteri segera hantar anak ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya. Setibanya saya di klinik, keadaan anak nampak agak kritikal walaupun ketika itu masih sedar.

"Anak saya kemudian dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Sabri yang dipanggil 'abah' oleh anaknya itu berkata, beliau terkilan kerana tidak dapat menolong anaknya ketika kejadian.

Katanya, apa yang lebih memilukan, beliau masih tidak boleh melupakan rintihan anaknya yang menanggung kesakitan ketika dirawat di hospital.

"Dua hari di hospital dia masih sedar dan merintih sakit tetapi sejak malam tadi keadaan dia agak kritikal, dia nampak semakin lesu dan tidak sedarkan diri.

"Saya tak sanggup lihat keadaan dia. Hati bapa mana tak sedih bila lihat keadaan anak macam tu," katanya.

Menurut Mohd Sabri, hatinya luluh saat menyaksikan anaknya itu menghembuskan nafas terakhir di depan matanya.

"Hati saya pilu namun saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT," katanya.

Menurut Mohd Sabri, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh 4&5 sekitar jam 11 pagi tadi.

Terdahulu Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kematian mangsa disebabkan kegagalan organ dalaman akibat toksin yang banyak berpunca daripada sengatan tebuan.

Menurutnya, mangsa yang dimasukkan ke HSNZ pada 9.17 malam, semalam dari Hospital Dungun mempunyai 65 kesan sengatan tebuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!