Lega pelanggan boleh makan di kedai

Peniaga kedai makan di Pasar Payang membuat persiapan bagi menerima pelanggan.
Peniaga kedai makan di Pasar Payang membuat persiapan bagi menerima pelanggan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengumuman kerajaan negeri yang membenarkan semua premis makanan beroperasi termasuk makan di dalam kedai yang berkuat kuasa hari ini, nyata memberi kelegaan kepada ramai peniaga.

Majoriti daripada mereka berada dalam keadaan tersepit susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Bagi peniaga nasi berlauk dan minuman di Pasar Payang, Wan Dalilah Wan Jaafar, 51, kebenaran untuk beroperasi dan pelanggan makan di kedai merupakan berita gembira yang ditunggu-tunggu.

WAN DALILAH
WAN DALILAH

"Rasa lega sangat sebab perniagaan memang terjejas teruk sebab PKP bermula pada musim cuti sekolah, sedangkan pada masa itu kira kemuncak bagi peniaga seperti saya.

"Lebih terkesan bila pelanggan tidak boleh makan di gerai dan hanya boleh bungkus, kami hilang ramai pelanggan. Kebanyakan pelanggan yang ada pun dalam kalangan peniaga di sini," katanya.

Turut berkongsi kegembiraan sama, Mohd Hafiz Ismail, 34, yang berniaga air dan makanan pagi di pasar itu.

Jelasnya, pendapatan diperoleh merudum lebih 70 peratus susulan kekangan untuk berniaga.

Artikel Berkaitan:

MOHD HAFIZ
MOHD HAFIZ

"Biasanya pelanggan ramai dalam kalangan orang luar tapi bila PKP, jumlah yang datang merosot kerana pergerakan terhad.

"Ada juga yang beli bungkus tapi mereka merungut sebab tak ada tempat nak makan, sampai ada yang terpaksa makan dalam kereta.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana beri kelonggaran ini, walaupun perlu patuhi SOP (prosedur operasi standard), setidak-tidaknya ia memudahkan pelanggan dan kami," katanya.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak mengumumkan berita gembira itu hari ini, namun menegaskan peniaga hanya dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan bermula jam 7 pagi hingga 10 malam.

Kebenaran itu berkuat kuasa hari ini sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau sehingga arahan baharu dikeluarkan dengan kesemua pengusaha premis diwajibkan mematuhi peraturan ditetapkan.