X

Kindly register in order to view this article
!

Pecat SUK Bersatu: Armada Terengganu buat laporan polis terhadap Marzuki

Syaiful Irfan (tengah) dan ahli Armada Terengganu membuat laporan polis terhadap Datuk Marzuki Yahya.
A
A

KEMAMAN - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu telah membuat laporan polis terhadap Datuk Marzuki Yahya malam tadi susulan isu pemecatan Setiausaha Kerja (SUK) Bersatu, Muhamad Suhaimi Yahya.

Laporan polis itu dibuat berdasarkan surat yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh Marzuki selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu yang memecat SUK, sedangkan beliau sendiri telah diberhentikan daripada jawatan itu pada 18 Mac lalu.

Ketua Armada Terengganu, Syaiful Irfan Anang berkata, Marzuki telah melangkaui bidang tugasannya memandangkan jawatan Setiausaha Agung Bersatu kini telah digantikan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 26 Mac lalu, di bawah bidang kuasa Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Selaras dengan prinsip menjunjung tinggi dan patuh kepada perlembagaan parti sebagai panduan utama demi menjaga maruah dan keutuhan parti, saya berpendapat bahawa isu ini perlu diselesaikan dengan kadar segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Suhaimi dipecat daripada jawatan Setiausaha Kerja Bersatu

Marzuki dipecat sebagai Setiausaha Agung Bersatu

Perlu tunggu selepas 30 Jun pecat Muhyiddin

"Ia bagi mengelakkan ahli-ahli Bersatu daripada terkeliru dan terkeluar daripada landasan sebenar parti," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau sebelum itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini malam tadi bersama timbalannya, Ahmad Luqman Mohd Dalizan dan ahli Armada yang lain.

Mengulas lanjut, Syaiful Irfan berkata, mereka berterima kasih kepada Marzuki di atas segala jasa dan baktinya sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Bersatu.

Namun katanya, mereka memohon agar beliau berhenti daripada cuba mengelirukan ahli parti.

"Dalam keadaan sekarang, parti memerlukan pengurusan yang utuh dan kukuh.

"Kami meletakkan kepercayaan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi menguruskan parti dengan sebaiknya pada ketika ini sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu dan sah mengikut perlembagaan parti Bersatu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus