Tiga kes positif Covid-19 di Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lagi kes positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan di Johor semalam membabitkan masing-masing seorang warga emas, pekerja syarikat perkapalan dan pekerja warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, warga emas berusia 66 tahun dikesan positif Covid-19 ketika rawatan untuk penyakit kanser dan telah dimasukkan ke Hospital Kluang.

Bagaimanapun katanya, sejarah pergerakan dan kontak pesakit masih dalam siasatan.

Sementara itu, pekerja perkapalan ialah seorang lelaki berusia 58 tahun dan dan bertugas di sebuah syarikat sejak November 2019.

"Lelaki terbabit dikesan positif Covid-19 ketika menjalani prosedur untuk turun dari kapal di pintu masuk antarabangsa Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

"Seramai 33 kontak rapat telah disaring dan sedang menjalani kuarantin di atas kapal selama 14 hari. Keputusan saringan kontak masih belum diperoleh. Pesakit dimasukkan ke Hospital Permai bagi rawatan dan pengasingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes ketiga pula melibatkan warga Bangladesh yang dikesan positif ketika saringan pekerja industri dilakukan oleh majikan.

"Seramai 216 pekerja lain di industri tersebut juga disaring pada hari yang sama dan keputusan mereka negatif.

Artikel Berkaitan:

"Pesakit kini dimasukkan ke Hospital Kluang bagi rawatan dan pengasingan," katanya.

Sementara itu, katanya tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di satu-satunya Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di negeri ini iaitu di Pekan Nenas, Pontian setakat ini.