Polis berkas pengedar dadah 'lone ranger'

Polis merampas dadah disyaki heroin susulan tertangkapnya seorang lelaki di Bandar Puchong Jaya kelmarin.
Polis merampas dadah disyaki heroin susulan tertangkapnya seorang lelaki di Bandar Puchong Jaya kelmarin.
A
A
A

SERDANG - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah secara 'lone ranger' diberkas polis di Bandar Puchong Jaya di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang kira-kira jam 6.30 petang.

R Sundralingam
R Sundralingam

Susulan penahanan itu katanya, pemeriksaan lanjut di kediaman suspek menemui satu peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat kira-kira 0.314kg.

"Dianggarkan dadah terbabit bernilai RM5,500 untuk diedar di pasaran tempatan. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Kia serta wang tunai berjumlah RM7,300.

"Siasatan awal mendapati suspek yang mula aktif sejak beberapa bulan lalu dan bergerak secara sendirian itu dipercayai memperoleh bekalan dadah di sekitar Lembah Klang," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, suspek yang menjual dadah kepada kenalannya sahaja itu kini direman tujuh hari sehingga 4 Jun untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: