X

Kindly register in order to view this article
!

Minggu kedua solat Jumaat, semua masjid patuh SOP

Semua masjid Pulau Pinang mematuhi SOP yang ditetapkan.
A
A

KEPALA BATAS - Semua masjid yang dibenarkan beroperasi di negeri ini sejak minggu lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menyediakan cecair sanitizer dan pemeriksaan suhu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, polis akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan di semua tempat termasuk rumah ibadat supaya SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Fasa 5 dipatuhi.

"Pemantauan hari ini mendapati ada masjid mengehadkan 15 jemaah untuk solat Jumaat," katanya ketika mengadakan pemantauan masjid di Seberang Perai Utara tadi.

Dalam pada itu beliau memberitahu, melalui PKPB Fasa 5 ini, terdapat 18 sekatan jalan raya membabitkan 2,703 pemeriksaan di seluruh Pulau Pinang.

"Sejak PKP dilaksanakan, kita memeriksa 1.59 juta individu, 19,830 premis dan 1.46 juta kenderaan yang mana, 6,485 kenderaan diarah berpatah balik. Dalam PKPB Fasa 5 ini, 112 ditahan dengan jumlah keseluruhan 1,939 ditahan sejak 18 Mac lalu,"

Sahabudin berkata, sehingga kini, kadar pematuhan di Pulau Pinang mencapai 97 peratus.

"Bagaimanapun masih ramai yang cuba merentas negeri dengan pelbagai alasan antaranya ingin balik beraya tetapi mereka yang tidak mempunyai alasan kukuh, tidak dibenarkan merentas negeri.

"Anggota dan pegawai kita akan sentiasa memantau di semua laluan termasuk di jalan tikus. Selain itu, polis juga akan memperketatkan pemantauan di stesen-stesen pengangkutan awam antaranya stesen keretapi dan bas," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus