X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN Selat Klang dikompaun ingkar SOP PKPB ketika Aidilfitri

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari
A
A

SHAH ALAM - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dikompaun RM1,000 kerana menganjurkan jamuan dihadiri lebih 20 tetamu semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, arahan mengenakan kompaun itu dikeluarkan timbalan pendakwa raya hari ini selepas Abdul Rashid didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

“Kita terima arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk mengkompaun beliau (Abdul Rashid) selaku penganjur jamuan sambutan Aidilfitri berkenaan.

“Polis akan menghubungi Abdul Rashid untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bagi dikeluarkan surat kompaun itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Baharudin, berdasarkan siasatan dijalankan tetamu yang hadir ke kediaman rasmi Exco berkenaan di Seksyen 7 di sini ketika sambutan Aidilfitri itu ialah penyokong Abdul Rashid.

Bagaimanapun ADUN yang juga Pengerusi Bersatu Selangor itu tidak menyangka jumlah kehadiran tetamu melebihi jemputan dikeluarkan.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 6) 2020.

Pada Rabu lalu, tular di media sosial foto memaparkan Abdul Rashid bersama-sama individu melebihi 20 orang di luar sebuah rumah semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!