'Pohon tidak bergoyang jika tiada angin'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Pohon tidak bergoyang jika tiada angin."

Demikian jawapan ringkas Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil sewaktu diminta mengulas mengenai spekulasi terkini peralihan kerajaan oleh Pakatan Harapan (PH) yang mula tersebar dalam media sosial sejak malam tadi.

Menerusi ciapan Twitter blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin malam tadi, beliau mendapat maklumat bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah mempunyai sokongan 129 ahli Parlimen bersamanya.

Selain itu, beberapa blogger pro pembangkang turut mendakwa PH kini menunggu untuk hadir ke istana menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memaklumkan mereka mempunyai sokongan mencukupi melalui kenyataan bersumpah (SD) ditandatangani oleh ahli Parlimen.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pihaknya mengakui spekulasi itu mungkin berasas tetapi persoalan bila kerajaan bakal diambil alih adalah terpulang kepada pucuk pimpinan PH.

Beliau juga tidak dapat mengesahkan terdapat usaha untuk menghadap Seri Paduka di Istana Negara pada hari ini sebagaimana diuar-uarkan oleh sebilangan penyokong PH dan Dr Mahathir.

"Kita juga tidak dapat mendedahkan jumlah angka sebenar sokongan ahli Parlimen diterima PH ketika ini.

"Sama ada angka sokongan memihak (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) atau Tun (Dr) Mahathir sekalipun, situasi kedua-dua keadaan jelas menunjukkan Muhyiddin tidak mempunyai angka sokongan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Apa sahaja boleh berlaku ketika ini. Cuma pada masa sama, satu keseimbangan perlu diwujudkan kerana sebarang tindakan politik tidak bermakna perang terhadap pandemik koronavirus (Covid-19) selesai. Harap semua pihak boleh bersabar," katanya.

Pada 18 Mei lalu, kedudukan kerusi ahli Parlimen di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional hanyalah 113 kerusi, satu kerusi melebihi angka minimum membentuk kerajaan iaitu 112 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Beberapa penganalisis politik tempatan melihat senario terkini itu membuktikan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya sangat rapuh dan tidak stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari mana datangnya angka 129: Mohamed Azmin