Enam ditahan angkara baling mercun

Hasanuddin menunjukkan video pergaduhan yang tular di media sosial ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Hasanuddin menunjukkan video pergaduhan yang tular di media sosial ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Angkara baling mercun, enam individu termasuk tiga beranak ditahan polis dalam satu kejadian di sebuah kedai makan di Wakaf Che Yeh di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kesemua mereka berumur 13 hingga 47 tahun itu ditangkap di lokasi kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan.

Menurutnya, kejadian tersebut telah mencetuskan pergaduhan apabila adik kepada salah seorang pengadu perempuan berusia 17 tahun bermain mercun ketika berada di hadapan sebuah kedai menjual karpet sekitar jam 8 malam.

"Dikatakan adik kepada pengadu telah bermain mercun dan difahamkan hampir terkena salah seorang pekerja kedai makan.

“Keadaan itu menyebabkan individu yang hampir terkena mercun tadi tidak puas hati dan berlaku pergaduhan mulut dengan mengeluarkan kata kesat sebelum membaling perkakas dapur,” katanya ditemui media di pejabatnya hari ini.

Terdahulu sejak malam tadi, tular satu video berdurasi 1.37 saat yang menunjukkan beberapa individu sedang bergaduh selain menunjukkan seorang lelaki menumbuk wanita di hadapan sebuah kedai makan dalam kejadian yang berlaku malam Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, kedua-dua pihak terlibat mahu meredakan keadaan namun sekali lagi berlaku pergaduhan melibatkan beberapa individu.

Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala bagi Seksyen 148 pula boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.