X

Kindly register in order to view this article
!

Pembelajaran secara online lancar sepanjang PKP

Ahmed Harith membantu tugasan pembelajaran anaknya, Damia Safiya yang menggunakan aplikasi Google Classroom.
A
A

SHAH ALAM - Kaedah pembelajaran secara dalam talian yang digunakan guru-guru di Malaysia kini berjalan lancar bagi memastikan anak-anak tetap belajar sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak hampir tiga bulan lalu.

Hasil tinjauan Sinar Harian, golongan ibu bapa memaklumkan tahap perkembangan pembelajaran terkini anak-anak mereka memberangsangkan.

Ahmed Harith Mohamad, 40, berkata, anaknya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4 Shah Alam, Selangor, Damia Safiya meneruskan sesi pembelajaran di rumah dengan menggunakan aplikasi Google Classroom yang pengisiannya disediakan oleh guru-guru.

“Walaupun berada di rumah, anak saya boleh meneruskan pembelajaran seperti biasa melalui video yang dikongsi oleh guru-guru.

“Bagi memastikan keberkesanan pembelajaran, anak-anak perlu menjawab soalan latihan yang diberikan. Ibu bapa dan anak-anak juga dapat memeriksa keputusan bagi latihan yang diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan pada awalnya ia agak sukar untuk dilaksanakan tetapi keinginan ibu bapa dan anak-anak dapat memudahkan proses pembelajaran di samping bantuan yang diberikan oleh guru-guru.

Ahmed Harith yang bertugas sebagai jurutera berkata, bagi memulakan sesi pembelajaran secara maya, ada beberapa alatan yang menjadi kemestian dan perlu ada antaranya komputer, capaian jalur lebar dan mesin pencetak.

Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Muhammad Hafiy Ilham Mohd Zahari, 7, sedang menyiapkan tugasan yang diberikan gurunya melalui grup WhatsApp.
Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Muhammad Hafiy Ilham Mohd Zahari, 7, sedang menyiapkan tugasan yang diberikan gurunya melalui grup WhatsApp.

“Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa yang memerlukan lebih masa untuk menyediakan alatan tersebut bagi memastikan pembelajaran anak berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua anak, Wan Amalia Wan Mohd Daud, 35, berkata, sesi pembelajaran secara dalam talian masih diteruskan seperti biasa oleh guru-guru setiap hari kecuali pada cuti umum.

“Memang sudah ada jadual untuk setiap mata pelajaran dan ia berjalan lancar.

“Saya tidak dinafikan pembelajaran secara alam maya dalam tempoh PKP adalah langkah yang memudahkan tetapi terdapat banyak faktor yang perlu dititikberatkan seperti talian internet di sesetengah kawasan yang agak perlahan.

“Pembelajaran dalam talian semuanya bergantung kepada talian internet di telefon dan kadang-kadang mengambil masa agak lama untuk mengakses tugasan diberikan,” katanya.

Wan Amalia turut mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan merangka modul yang sesuai untuk pembelajaran secara alam maya dan pastikan ia tidak membebankan ibu bapa untuk mengaksesnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus