Proses nyahcemar di depot Imigresen dilakukan Mac lalu: KP Bomba

Mohammad Hamdan - Foto Bernama
Mohammad Hamdan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses nyahcemar di tiga depot tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Semenyih, Sepang dan Bukit Jalil telah dilaksanakan pada Mac lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Menurutnya, proses sanitasi nyahcemar turut dibuat di pusat tahanan di balai polis dan penjara di seluruh negara.

"Proses nyah cemar ini akan dilakukan semula selepas keadaan di depot berkenaan kosong sebelum dihuni oleh tangkapan baharu.

"Bagaimanapun sebarang tindakan nyahcemar bakal dibuat berdasarkan arahan selanjutnya dari pihak Imigresen dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tetap fokus kepada proses nyahcemar di semua depot tahanan berkenaan sebelum PKP dilaksanakan sehingga kini.

Mohammad Hamdan berkata, perkara paling penting adalah memastikan setiap kawasan yang dibuat proses nyahcemar benar-benar bersih selain memastikan penularan dan penyebaran wabak pandemik itu dapat diputuskan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seramai 227 kes positif koronavirus (Covid-19) dikesan di tiga kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) membabitkan bukan warga negara Malaysia.

Mohammad Hamdan hari ini meninjau penugasan pegawai dan anggota JBPM di Plaza Tol Sungai Besi sempena Operasi Lancar (Op Lancar) yang bermula pada 21 Mei lalu sehingga hari ini dengan menempatkan 12 anggota bomba di tujuh tol lebuh raya melibatkan tol Kampung Hutan, Kedah, tol Juru, Pulau Pinang, tol Jalan Duta, tol Gombak, tol Gambang, tol Sungai Besi dan tol Skudai, Johor.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, kesemua anggota bomba yang ditugaskan semasa penularan Covid-19 menerima elaun khas yang disalurkan oleh kerajaan.

Katanya, hanya elaun bulan Mei masih menunggu proses tuntutan daripada Kementerian Kewangan.

"Setakat ini semua yang terlibat melaksanakan tugas semasa Ops Covid-19 ini mereka layak untuk membuat tuntutan dan tuntutan ini untuk bulan Februari, Mac dan April sudah diterima dan cuma bulan Mei kita tunggu tuntutan selanjutnya," katanya.