DBKL pantau Pasar Borong KL

Pemantauan di pintu masuk Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.
Pemantauan di pintu masuk Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan kawalan dan pemantauan terhadap warga asing dan kenderaan yang masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penguatkuasa DBKL melakukan rondaan di sekeliling tembok pasar dan pintu berpalang bagi memastikan tiada warga asing masuk ke pasar borong itu tanpa kebenaran.

Menurutnya, DBKL turut melakukan pemeriksaan terhadap 1,395 kenderaan termasuk lori muatan sayur, buah dan ikan serta motosikal dan kenderaan persendirian bermula jam 11 malam hingga 8.15 pagi tadi.

"Selain itu, seramai 1,530 orang telah menjalani pemeriksaan suhu dan tiada dikesan demam atau suhunya melebihi 37.5 darjah celsius.

"Pemeriksaan juga tidak menemukan warga asing sewaktu rondaan dijalankan," katanya.

Kenderaan dan individu yang masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur perlu menjalani pemeriksaan.
Kenderaan dan individu yang masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur perlu menjalani pemeriksaan.

Katanya, rondaan dan pemantauan bertujuan memastikan pemilik, pembantu serta pengunjung mematuhi langkah keselamatan, jarak sosial dan kebersihan yang ditetapkan.

"Rondaan dan pemantauan juga dilaksanakan bagi memastikan harta benda di sekitar lokasi baik dan terkawal," katanya.

Artikel Berkaitan:

DBKL sebelum ini menguatkuasakan Undang-undang Kecil (UUK) sedia ada dengan tidak membenarkan warga asing terlibat dalam sektor penjajaan termasuk pasar borong.

Sementara bagi Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 hanya dibenarkan mengambil warga asing yang mempunyai permit kerja yang sah untuk bekerja di premis-premis dilesenkan di bawah undang-undang tersebut.