78 individu dikompaun berkumpul di kolam pancing

Polis mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas 78 individu kerana melanggar SOP PKPB semasa berada di kolam pancing di Jalan Tanah Pinggir, Kampung Bandar, Banting, semalam.
Polis mengeluarkan kompaun RM1,000 ke atas 78 individu kerana melanggar SOP PKPB semasa berada di kolam pancing di Jalan Tanah Pinggir, Kampung Bandar, Banting, semalam.
A
A
A

BANTING - Seramai 78 individu yang berkumpul di kolam pancing di Jalan Tanah Pinggir, Kampung Bandar di sini dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

Tindakan kompaun itu juga dikenakan ke atas pekerja serta pemilik kolam terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tindakan terbabit dilakukan menerusi operasi Op Covid-19 kira-kira jam 3 petang yang diketuai Inspektor Paul Marcos Aeron.

"Seramai 78 individu termasuk tiga wanita yang berada di sekitar kolam berkenaan dikesan gagal mematuhi SOP iaitu tiada penjarakkan sosial dan berkumpul dalam jumlah yang ramai.

"Tindakan diambil di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rata-rata individu terbabit adalah penduduk sekitar Banting selain ada juga yang datang dari Shah Alam, Subang serta Klang.

Katanya, orang ramai diminta untuk lebih peka kepada situasi pandemik Covid-19 dengan mematuhi PKPB.

"Kelonggaran yang diberikan kerajaan bukan bermaksud bebas untuk melakukan apa juga aktiviti sosial yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa memastikan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan selain keperluan penggunaan topeng muka," katanya.