Keluarga tawar RM1,000 kepada saksi kemalangan langgar lari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA BHARU - Keluarga seorang pelajar Tingkatan Empat yang maut dalam kemalangan langgar lari di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, Pasir Mas pada 6 Julai lalu, menawarkan wang RM1,000 kepada saksi kejadian untuk menuntut pembelaan atas kematian mangsa.

Mangsa, Fareez Fazwan Mhd Yusoff,16, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lati, Pasir Mas pada jam 6.40 petang selang empat jam terbabit dalam kemalangan motosikal jenis Honda Dash dengan sebuah lori satu tan bermuatan gas memasak dan lori dipercayai bermuatan habuk kayu (yang dicari) pada jam 2.44 petang.

Kakak mangsa, Fairuz Fatma, 23, berkata, keluarganya mencari saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil memberikan keterangan kepada pihak polis sekali gus dapat membela kematian anak kelapan daripada sembilan beradik berkenaan.

“Sesiapa yang melalui kawasan kejadian pada tarikh dan masa tersebut, boleh hubungi kami, balai polis atau trafik Pasir Mas untuk sebarang bukti seperti nombor plat lori serta rakaman kamera papan pemuka.

“Bagi individu yang dapat menyerahkan bukti yang betul dan terperinci, kami akan berikan RM1,000 sebagai tanda berterima kasih kerana memudahkan urusan kami dan polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Allahyarham Fareez Fazwan (kanan) bersama Fairuz Fatma (kiri).
Allahyarham Fareez Fazwan (kanan) bersama Fairuz Fatma (kiri).

Fairuz Fatma berkata, saksi boleh juga menghubunginya di talian 011-16511208 atau 014-5312833 (Faiz).

Menurut wanita itu, pada hari kejadian dia berada di tempat kerja di Kota Bharu sebelum menerima panggilan abang yang bekerja di Kuala Lumpur memaklumkan terlihat perkongsian kemalangan dalam kumpulan WhatApps kejiranan.

Katanya, remaja tersebut sebelum itu meminta izin dengan ibu mereka untuk keluarga mengisi minyak petrol motosikal bagi persediaan untuk ke sekolah dan keluar dari Perumahan Prima Lubok Jong pada jam 2.40 petang.

“Setiap hari Khamis dia akan keluar untuk memenuhkan tangki minyak motosikal untuk dibawa ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kiambang.

“Hanya beberapa minit keluar, kami dapat tahu dia kemalangan di lokasi yang tidak jauh dari rumah dengan melihat nombor plat motosikal yang dikongsikan dalam kumpulan WhatApps tersebut,” ujarnya.

Fairuz Fatma berkata, berdasarkan keterangan orang ramai yang berada di tempat kejadian dipercayai lori bermuatan habuk kayu tersebut yang mula-mula keluar dari simpang dan berkemungkinan terlanggar motosikal adiknya lalu mangsa terbabas dan dilanggar oleh lori bermuatan gas dari arah bertentangan.

Menurutnya, pemandu lori bermuatan habuk kayu tersebut bagaimanapun terus beredar dari lokasi kejadian itu sejurus kemalangan berlaku.

Jenazah Allahyarham Fareez Fazwan yang diusung dan dibawa ke tanah perkuburan di Pasir Pas.
Jenazah Allahyarham Fareez Fazwan yang diusung dan dibawa ke tanah perkuburan di Pasir Pas.

“Adik saya cedera dan tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Lati dengan menaiki ambulans.

“Semasa rawatan, dia sedar sekejap dan mengadu pada ibu mahu membuang air kecil sebelum kembali pengsan seterusnya meninggal dunia kerana pendarahan teruk pada bahagian dalaman di usus dan pecah pundi kencing,” kata Fairuz Fatma.