Bersatu beri bayangan pertahan Dun Semenyih

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi gambaran akan meletakkan calon tempatan PRK Dun Semenyih yang bakal diadakan pada bulan hadapan.

Ahli Majlis Tertingginya, Abu Bakar Yahya berkata, parti berkenaan mahu memilih calon yang kenal dengan masyarakat tempatan dan boleh turun padang pada bila-bila masa.

"Sebaik-baiknya biarlah calon tempatan yang sedia kenal dengan masyarakat di sana, calon ini jika menang dia akan jadi wakil rakyat, kena selalu turun padang, jika wakil rakyat duduk sahaja di rumah susahlah kita," katanya ketika diminta mengulas sama ada Bersatu sudah muktamadkan senarai calon bagi PRK Dun Semenyih.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Semenyih: Umno Selangor cadang enam nama]

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Piala Perdana Menteri Ketujuh yang julung-julung kali diadakan, di sini, hari ini.

Sejumlah 64 pasukan dari seluruh Selangor bertanding dalam kejohanan selama lima hari yang bermula hari ini.

Dalam pada itu Abu Bakar turut menasihati individu yang melobi untuk menjadi calon di PRK berkenaan agar tidak memberontak jika tidak dipilih.

"Bersatu Selangor diberi hak untuk mengemukakan senarai calon, bagaimanapun pimpinan pusat yang akan memilih calon yang sesuai, jadi mereka yang tidak terpilih nanti perlulah menyokong dan bekerjasama untuk memenangkan parti di PRK nanti.

“Perjuangan parti perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi," katanya.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac dan penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, mewakili Bersatu memperoleh 23,428 undi menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (BN), Mad Shahmidur Mat Kosim (Pas) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi. - Bernama