Kisah insan-insan yang lapar

A
A
A

PANDEMIK Covid-19 telah menyerlahkan satu senario yang tidak terjangka – golongan insan-insan yang lapar. Di antara golongan yang sentiasa kelaparan ialah golongan gelandangan. Ada yang merempat tiada pekerjaan kerana ketagihan dadah, cacat atau tiada peluang bekerja kerana keadaan rupa diri. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang bekerja, bergaji kecil dan tiada mampu menyewa rumah atau bilik. Golongan ini tidur merata tempat.

Mereka tidur beratapkan langit dan simen yang dingin. Asalkan dapat melelap mata, cukuplah untuk melepaskan lelah. Terdapat pelbagai NGO yang datang secara berkala khususnya pada hujung minggu untuk membawa makanan dan keperluan untuk golongan itu. Namun, masalah itu nampaknya ada jalan penyelesaian. Berikutan dengan Covid-19, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa telah mengumpulkan mereka di dalam dewan untuk penjarakkan sosial.

Tetapi akhirnya kemunculan golongan itu yang begitu ramai telah menginsafkan beliau lalu menyelesaikan masalah mereka dengan memberi pekerjaan. Model tindakan itu seharusnya dijadikan contoh oleh lain-lain bandaraya dan majlis tempatan di negara kita. Akhirnya, NGO-NGO nanti tidak perlu lagi sentiasa memberi ikan kerana pihak pemerintah telah membantu golongan gelandangan terbabit dengan kail.

Satu lagi golongan kelaparan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ini adalah golongan yang bekerja gaji hari. Keadaan mereka menepati pepatah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ramai dalam kalangan mereka adalah daripada golongan B40. Mereka bekerja menjadi buruh kasar, pembantu di restoran, pemandu lori dan bas, pengangkat barang di syarikat logistik dan pasar, pekerja kilang dan mereka yang bekerja kampung.

Terdapat golongan yang mempunyai kerja yang sedikit standard tetapi berdepan dengan masalah kewangan untuk membeli makanan. Golongan pekerja sambilan yang profesional seperti kru syarikat perfileman, promoter pemasaran, pereka grafik, pengasuh bayi, guru sambilan serta ramai lagi berdepan dengan masalah ini.

Saya berkesempatan berbual dengan Fuad Rahim Asman, seorang penyelaras program Zero Hunger, sebuah NGO di Cyberjaya. Menurutnya, jumlah mereka yang memohon bantuan secara online ke pangkalan data NGOnya kini melebihi 91,000 di seluruh Malaysia. Beliau yang mengendalikan penghantaran bekalan makanan asas ke seluruh semenanjung mendapati golongan yang putus bekalan makanan bukan sekadar golongan B40 sahaja. Golongan yang tiba-tiba jatuh miskin kerana hilang pekerjaan iaitu yang bergaji hari inilah yang paling teruk terjejas.

Pasca pandemik ini, di mana keadaan ekonomi semakin meleset, golongan yang perlukan bantuan makanan ini akan bertambah. Apatah lagi golongan yang menganggur akan berganda jumlahnya bila banyak syarikat-syarikat gulung tikar atau mengecilkan operasinya.

Bagaimanapun, baru sahaja PKPB dilonggar sedikit, disusuli dengan Hari Raya Aidilfitri, kita mula nampak tanda-tanda pembaziran sudah pun berlaku dalam kalangan kita. Kita mendengar letupan mercun hingga jauh malam. Ada orang boleh membakar duit setelah bersusah payah mendapatkannya. Makanan sajian hari raya mula tampak terbuang jika kita rajin menyusur melihat tong-tong sampah yang membuak di tepi-tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

Setelah kita faham apa itu lapar dan dahaga setelah berpuasa, apa kata kita hayati pula lapar dan dahaga dengan kita sendiri memberi sedikit makanan yang kita ada kepada orang lain? Iya, memberi makanan, bukannya wang. Sebabnya, memberi makanan lebih menginsafkan berbanding dengan memberi wang.

**Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian