20 rumah dilanda banjir kilat

Kamaruddin (kanan) membersihkan permaidani di rumahnya yang ditenggelami banjir dalam kejadian itu.
Kamaruddin (kanan) membersihkan permaidani di rumahnya yang ditenggelami banjir dalam kejadian itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 20 rumah penduduk di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat hari ini.

Keadaan berlaku pantas dengan air naik secara mendadak sehingga 0.2 meter bermula pada jam 2 petang dan kemudian surut selepas setengah jam kemudian.

Seorang penduduk, Kamaruddin Mohamad, 45, berkata, hujan lebat yang berlaku hari ini menyebabkan kawasan sekitar perumahan tersebut digenangi air serta melimpah sehingga ke dalam rumah.

Menurutnya, perabot dan barangan elektrik di dalam rumah seperti peti sejuk rosak kerana tidak sempat dialihkan.

“Sejak setahun tinggal di sini, ini adalah kejadian kali keenam yang berlaku. Hari ini hujan lebat sekitar sejam dan air naik dengan cepat hingga ke dalam rumah.

“Ketika orang lain masih sambut Aidilfitri, kami terpaksa pula bersihkan dan kemas rumah. Kali ini agak teruk juga walaupun tidak seteruk kejadian pada musim tengkujuh lepas. Habis perabot di rumah kami rosak,” katanya.

Keadaan rumah penduduk di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini yang dilanda banjir kilat hari ini.
Keadaan rumah penduduk di Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini yang dilanda banjir kilat hari ini.

Seorang lagi penduduk, Norasyikin Haron, 52, berkata, beliau sekeluarga juga mendiami rumah itu sejak setahun lalu dan sentiasa runsing apabila hujan lebat walaupun sekejap.

Artikel Berkaitan:

“Banjir kilat di sini selalunya berlaku dalam tempoh yang begitu pantas, hujan tak sampai satu jam pun air boleh masuk dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Radzi Sulaiman, 45, pula mengharapkan tindakan diambil oleh pihak pemaju atau pihak berkuasa tempatan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, masalah itu menghantui mereka sejak lebih setahun lalu malah sudah enam kali kawasan itu dilanda banjir dipercayai akibat sistem perparitan.

“Sampai bila kami kena hadapi keadaan ini. Besar harapan kami agar masalah ini dapat diatasi segera yang mungkin,” katanya.