Jangan hilang kerja kerana takut dikompaun: Ismail

Anggota Polis dan Tentera mengawal aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur ekoran sekatan jalan raya hari ini. - Foto Bernama
Anggota Polis dan Tentera mengawal aliran trafik di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur ekoran sekatan jalan raya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia yang 'curi-curi' balik kampung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk kembali pulang ke rumah masing-masing bagi tujuan bekerja meskipun terpaksa dikenakan tindakan kompaun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang berjaya meloloskan diri daripada kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sewajarnya takut dengan tindakan kompaun sehingga menyebabkan mereka enggan kembali pulang ke rumah masing-masing.

Menurutnya, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) sudah memberi amaran mana-mana pekerja yang gagal kembali bekerja susulan terkandas kerana 'curi-curi' balik kampung boleh dikenakan tindakan diberhentikan kerja sebelum ini.

"Jadi (mana-mana individu) yang berani buat, kena berani tanggung...kalau mereka gagal lolos (untuk pulang ke rumah masing-masing), bayar sahaja kompaun.

"Jangan sampai takut kena kompaun, mereka buat keputusan enggan balik dan akhirnya hilang pekerjaan.

"Operasi sekatan jalan raya akan terus dikekalkan di setiap plaza tol untuk mengelak tindakan rentas negeri dan bagi mereka yang berjaya lolos, kita minta mereka balik untuk bekerja walaupun terpaksa dikompaun," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini.
 - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini.
 - Foto Bernama

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menegaskan kerajaan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) (Pindaan) 2020 berkuatkuasa esok, 27 Mei 2020.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pindaan itu antara lain berkaitan kapasiti penumpang bagi kenderaan persendirian di mana jumlah maksimum penumpang dibenarkan adalah mengikut jenis kenderaan.

"Bagi kenderaan persendirian, pemandu boleh membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing yang dikawal selia di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Penumpang mestilah orang yang tinggal serumah dengan pemandu," katanya.