X

Kindly register in order to view this article
!

Beraya di hospital angkara puding buih

Keadaan Puteri Nor Farisha Damia yang kini dirawat di HSNZ.
A
A

KUALA TERENGGANU – Angkara puding buih, seorang kanak-kanak perempuan terpaksa beraya di hospital dipercayai keracunan makanan selepas menikmati hidangan pencuci mulut itu ketika berbuka puasa Ramadan terakhir kelmarin.

Puteri Nor Farisha Damia Mohd Faizul,11, mula sakit perut dan muntah kira-kira jam 5 pagi semalam hingga keadaannya lesu manakala lima sepupunya berusia 6 hingga 20 tahun yang turut menjamah puding buih juga mengalami keadaan sama.

Bapanya, Mohd Faizul Hamzah,35, dari Rusila, Marang berkata, anak saudaranya membawa pulang dua bekas puding buih yang dibeli oleh kawannya untuk berbuka puasa kelmarin dan enam sepupu itu berkongsi menikmatinya.

Pada malamnya, remaja berusia 20 tahun itu muntah, sakit perut lalu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan diminta pulang selepas diberikan ubat, namun terpaksa ke hospital semula serta dimasukkan ke dalam wad.

Menurut Mohd Faizul, dia menyedari anaknya turut mengalami keracunan makanan selepas mahu mengejutkan kanak-kanak itu menunaikan solat subuh kira-kira jam 6 pagi semalam.

“Saya tengok dia sudah bangun dan sedang menangis sakit perut disusuli muntah. Raya semalam, dia bergilir ulang alik ke tandas bersama sepupunya dengan pakaian raya. Kesian, nak beraya pun tak boleh kerana sakit perut dan muntah.

“Menjelang tengah hari saya tengok keadaannya semakin lemah lalu saya ambil keputusan bawa dia bersama dua sepupunya ke HSNZ. Dua lagi anak saudara pula ditahan wad pagi ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Faizul berkata, dia tidak menyangka kejadian keracunan makanan itu berlaku kepada anak dan lima anak saudaranya di saat umat Islam mahu menyambut 1 Syawal namun reda dengan dugaan tersebut.

Katanya, selain ahli keluarganya, terdapat beberapa mangsa lain yang turut menerima rawatan di HSNZ akibat keracunan makanan dipercayai kerana puding buih sama.

“Penjual puding buih itu ada hubungi selepas salah seorang ahli keluarga saya memuat naik status mengenai perkara itu dalam laman sosial Facebook.

“Dia (peniaga) minta maaf dan mahu memulangkan semula duit, tapi saya cakap sedekahkan saja duit itu kepada masjid. Sedih memang sedih apatah lagi dalam keadaan anak yang teruja mahu menyambut hari raya, tapi terpaksa beraya di hospital.

“Jujurnya saya maafkan dia kerana dia bukan sengaja mahu racun orang. Cuma saya harap kes ini dijadikan iktibar selepas ini peniaga lebih berhati-hati supaya kebersihan makanan terjamin dan tidak berlaku kejadian keracunan makanan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus