Polis siasat video tular majlis kahwin di kuil

Polis menyiasat majlis perkahwinan di sebuah kuil di Serdang, Selangor yang tular media sosial.
Polis menyiasat majlis perkahwinan di sebuah kuil di Serdang, Selangor yang tular media sosial.
A
A
A

SERDANG - Polis sedang menyiasat dakwaan satu majlis perkahwinan dilangsungkan di sebuah kuil di Serdang Raya di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai video terbabit.

"Kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 41 tahun pada jam 12.04 tengah malam tadi selepas dia dimaklumkan gambar peribadinya telah diviralkan di dalam beberapa 'group' WhatsApp.

"Pendedahan itu menyaksikan kehadiran berpuluh orang yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismadi berkata, video terbabit juga diambil sendiri pengadu ketika dia hendak ke tempat kerja.

Katanya, susulan itu, Ketua Polis Balai Seri Kembangan bersama anggota telah bertemu dengan pihak pengurusan kuil terbabit.

Tambahnya, pihak pengurusan kuil mengakui telah berlangsungnya majlis perkahwinan pada 24 Mei sekitar jam 8 hingga 10 pagi dengan kehadiran kira-kira 20 sehingga 30 orang.

"Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan kesemua mereka yang terlibat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Justeru, semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan sebarang komen yang boleh mendatangkan kegusaran awam. Pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang juga meminta semua pihak supaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi supaya rantaian pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dibendung.