Thailand harap uji vaksin Covid-19 terhadap manusia tahun ini

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BANGKOK - Thailand memulakan percubaan vaksin Covid-19 terhadap monyet pada Sabtu selepas ujian ke atas tikus menunjukkan keputusan positif.

Pengarah Institut Vaksin Kebangsaan Nakorn Premsri berkata jika ujian ke atas monyet juga memberikan keputusan positif, percubaan terhadap manusia dapat dijalankan menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

"Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, pengeluaran vaksin akan bermula tahun depan,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Vaksin Covid-19 Universiti Chulalongkorn Kiet Rakrungtham berkata sebanyak 10,000 dos vaksin akan dihasilkan untuk 5,000 sukarelawan bagi percubaan ke atas manusia.

"Vaksin ini akan dihasilkan oleh dua kilang. Kami jangka kilang pertama akan mengeluarkan vaksin (untuk percubaan ke atas manusia) menjelang Oktober,” katanya.

Sementara itu, Thailand melaporkan sifar kes baharu positif dan kematian berkaitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan angka kumulatif kekal pada 3,040 kes positif dan 56 kematian.

Ini adalah kali keempat bulan ini tiada kes baharu harian direkodkan Thailand.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Dr Panprapa Yongtrakul berkata setakat ini 63 kes masih dirawat di hospital dengan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan dibenarkan pulang ialah seramai 2,921 orang.

Artikel Berkaitan:

Thailand merupakan negara pertama melaporkan kes Covid-19 di luar China. -Foto Bernama