Hulu Langat catat pertambahan kes Covid-19

A
A
A

SHAH ALAM - Pertambahan 25 kes baharu koronavirus (Covid-19) di mukim Semenyih, Kajang dan Cheras sehingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan keseluruhan kes aktif di daerah Hulu Langat kini meningkat kepada 70 kes berbanding 45 kes kelmarin.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik dikongsikan di akaun Facebook rasminya memaklumkan tiada perubahan demografi zon semalam berbanding kelmarin.

STFC dalam pada itu mengingatkan warga Selangor sentiasa menitiberatkan pencegahan bagi mengelakkan dijangkiti wabak Covid-19.

"Sepanjang musim perayaan ini, kami berpesan dan mohon kepada warga Selangor supaya tolong amalkan langkah-langkah pencegahan yang tidak pernah jemu kami hebah iaitu mengamalkan penjarakkan sosial, menjaga kebersihan diri dan pakai topeng muka.

"Hanya tindakan bertanggungjawab anda yang mampu mencegah Covid-19 dari bermaharajalela semula. Sentiasalah berjaga-jaga ketika raya, jangan sehingga terlupa norma baharu kita," menurut kenyataan yang dimuat naik itu.

Terdahulu, STFC memaklumkan mukim Beranang yang sebelum ini dikategori sebagai zon kuning bebas daripada kes aktif Covid-19 dan ditakrif sebagai zon hijau.

Bagaimanapun, Selangor yang sebelum ini diumum bebas daripada zon merah selama tiga hari kini direkod kembali mempunyai satu daerah ditakrif zon merah iaitu Hulu Langat.

STFC sebelum ini turut memberi peringatan kepada warga Selangor supaya tidak melakukan perjalanan merentas negeri.

Artikel Berkaitan:

"Warga Selangor sangat dilarang keras merentas negeri untuk pulang beraya. Jika terjadi jangkitan baru atau 'outbreak' disebabkan kluster raya, kita terpaksa 'berkurung' sepertimana kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Tindakan anda bakal menyebabkan ekonomi negara tergendala dan lebih ramai orang akan hidup menderita. Adakah anda mahu jadi sebahagian daripada puncanya?," menurut kenyataan yang dimuat naik sebelum ini.