Jualan peniaga Jalan Masjid India merudum 90 peratus

Keadaan di salah sebuah kedai yang menjual pakaian di Jalan Masjid India.
Keadaan di salah sebuah kedai yang menjual pakaian di Jalan Masjid India.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap kali menjelang Aidilfitri, kawasan Jalan Masjid India di sini pasti menjadi tumpuan orang ramai mencari barangan keperluan terutama pakaian raya.

Bagaimanapun, wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara ketika ini merubah segalanya apabila kawasan yang dahulunya dilabel sebagai ‘syurga beli-belah’ itu tidak semeriah dulu.

Perkara itu diakui peniaga pakaian di Wisma Yakin dan Masjid India di sini yang mendakwa jualannya merosot teruk sehingga 90 peratus sejak Mac lalu kesan daripada wabak Covid-19.

Pemilik KAS Tailor, Hayati Shuaidi, 52, berkata, biasanya pada musim perayaan sebelum ini, jualan boleh mencecah RM10,000 sehari namun pada tahun ini hendak mendapatkan jualan sebanyak RM2,000 pun sukar.

Hayati Shuaid
Hayati Shuaid

Menurutnya, dia terpaksa menutup satu daripada lima kedai miliknya susulan tidak mampu menampung sewa.

“Setakat dua atau tiga bulan ini kami masih mampu bertahan. Jika berlarutan hingga enam bulan ke setahun kesannya akan lebih teruk.

“Jualan yang merosot menyebabkan kami tidak mengambil pekerja sambilan buat masa ini dan hanya menggunakan pekerja sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Hayati berkata, pada hari pertama dan kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, tiada seorang pun pelanggan masuk ke kedainya mungkin kerana bimbang kawasan itu sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pemilik kedai Den Wahab, Farah Ismahani Zaharudin, 22, turut mengakui kedainya kurang pelanggan namun masih beroperasi seperti biasa selain mempergiatkan jualan secara atas talian.

Farah Ismahani Zaharudin
Farah Ismahani Zaharudin

“Sejak PKP memang kami sudah buat rancangan jualan online dan tempahan masih ada. Kami dapat memenuhi permintaan pelanggan dari luar Kuala Lumpur termasuk dari Pahang dan Terengganu.

“Sasaran jualan untuk raya memang tinggi tapi disebabkan Covid-19, jualan tidak sebaik tahun-tahun sebelumnya. Cuma saya harap Covid-19 cepat selesai supaya peniaga boleh bernafas semula dan ganti kerugian yang ditanggung sejak Mac lalu,” katanya.

Sementara itu, pekerja bazar di Jalan Masjid India, Siti Zubaidah Suparto, 22, berkata, perniagaan bazar belum dibenarkan beroperasi bagi tempoh PKPB namun dia datang ke kedai untuk tujuan pembersihan.

Siti Zubaidah Suparto
Siti Zubaidah Suparto

“Saya datang sini bukan nak berniaga tapi mahu bersihkan kedai. Kedai kami tak dibuka sejak 18 Mac lalu, jadi saya bimbang jika tudung-tudung yang dijual rosak digigit tikus.

“Memang tidak ramai pelanggan datang ke sini sekarang mungkin sebab ia berada dalam zon merah Covid-19.

“Berbanding tahun sebelumnya, waktu-waktu macam ini, jualan boleh mencecah RM10,000 sehari tapi disebabkan Covid-19, perniagaan memang merosot dan peniaga terpaksa akur demi keselamatan,” katanya.