X

Kindly register in order to view this article
!

Pengurus rugi lebih RM70,000 ditipu pinjaman tidak wujud

Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A

KUANTAN - Pengurus sebuah syarikat kerugian lebih RM70,000 selepas terpedaya dengan iklan pinjaman tidak wujud yang menawarkan moratorium selama enam bulan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 47 tahun terpedaya selepas berminat terhadap tawaran iklan yang diterima melalui aplikasi WhatsApp pada 14 Mei lalu lalu bersetuju membuat pinjaman RM150,000 serta berurusan dengan individu kononnya pegawai bank yang menawarkan promosi istimewa tersebut.

"Mangsa diminta menghantar maklumat peribadi dan salinan kad pengenalan kepada 'pegawai bank' tersebut melalui WhatsApp untuk proses permohonan. Selepas semua maklumat dikehendaki diserahkan, suspek menghantar gambar surat kelulusan melalui WhatsApp menunjukkan permohonan pinjaman itu lulus RM140,000 untuk meyakinkan mangsa.

"Seperti modus operandi kes-kes penipuan pinjaman tidak wujud lain yang pernah dilaporkan, mangsa diminta membuat beberapa bayaran termasuk insurans pinjaman sebanyak RM2,520 dan dia berbuat demikian pada 15 Mei lalu melalui satu akaun bank," katanya.

Menurutnya, suspek berjanji mengembalikan semula wang tersebut pada hari sama setelah selesai daftar insurans pinjaman dan meminta mangsa berurusan dengan pegawainya.

"Pada tengah hari, hari yang sama, seorang lagi suspek menghubunginya memaklumkan akaun banknya mesti mempunyai wang minimum sebanyak RM5,000 untuk bayaran balik wang insurans tersebut.

"Bagi melepasi syarat itu, mangsa perlu membayar RM4,000 dan dia berbuat demikian dengan memindahkan wangnya dalam jumlah itu ke satu akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas itu mangsa turut dihubungi beberapa individu lain dan membuat bayaran tambahan termasuk 12 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berjumlah RM16,800 dan wang proses, RM12,380.

"Mangsa juga membuat beberapa bayaran lain membabitkan jumlah keseluruhan RM74,162 untuk proses mendapatkan pinjaman tersebut dan jumlah itu lebih separuh daripada wang yang dipinjam. Selepas semua bayaran dibuat, mangsa syak dia telah ditipu apabila wang dipinjam gagal diserahkan suspek seperti dijanjikan.

"Malah suspek terus menganggu mangsa dengan meminta RM5,000 lagi dan mengugut untuk menyebarkan berhubung permohonan pinjaman itu kepada keluarganya melalui Facebook," katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu mangsa membuat laporan polis di Mentakab untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus