‘Pay per view’ mampu jana kewangan pasukan Liga-M

Aksi Lang Merah ketika melayan kunjungan Gergasi Merah pada saingan Liga Super di Alor Setar. Foto: FA Selangor
Aksi Lang Merah ketika melayan kunjungan Gergasi Merah pada saingan Liga Super di Alor Setar. Foto: FA Selangor
A
A
A

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa jalan yang terbaik buat masa ini adalah mengenakan pakej ‘pay per view’ kepada penyokong jika Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dalam usaha membantu kewangan setiap pemegang taruh Liga-M.

Ironi semua menyedari bahawa sebahagian besar pasukan-pasukan sedang berdepan masalah kewangan khususnya penjanaan pendapatan melalui kutipan tiket berlaku selepas Liga-M terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.

Sudah pasti langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu menjana kewangan kelab-kelab di mana perlawanan bakal diadakan tanpa penonton seperti yang disarankan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini jika mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Ini kerana berlaku masalah tunggakan gaji para pemain dan jurulatih yang mungkin disebabkan kelab berkenaan tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri atau penaja menarik diri ekoran Liga-M ditangguhkan sementara waktu.

Ada sebahagian pasukan melaksanakan pemotongan gaji bagi memastikan ‘survival’ kelab mereka dalam keadaan terjamin tetapi langkah ‘pay per view’ sekurang-kurangnya dilihat mampu memberikan sedikit sinar kepada pemegang taruh Liga-M terutama kelab-kelab yang berdepan masalah kewangan kronik.

Apa yang pasti kelangsungan kelab Liga-M musim 2020 diuji dengan penuh rintangan sebagaimana sebahagian besar daripada mereka sedang bergelut meneruskan survival dalam bola sepak tempatan ketika menempuhi pandemik Covid-19.

Justeru, kelab-kelab Liga-M seharusnya mengambil iktibar apa yang telah berlaku sepanjang pandemik Covid-19 dan mereka harus mencari mekanisme yang lebih relevan bagi formula menambah pendapatan daripada aspek komersial dan sebagainya.

Secara umumnya, inilah kesan apabila kemampuan sesetengah kelab itu terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan negeri yang mana penyokong-penyokong sendiri melihat ketahanan pasukan kesayangan mereka dapat bertahan dengan lebih lama.

Artikel Berkaitan:

Mengambil contoh, sesebuah kelab itu senantiasa berdepan masalah gaji setiap kali berlaku pertukaran jawatan Presiden yang sinonim menjadi jawatan milik Menteri Besar dek pertukaran portfolio politik tanah air.

Lebih parah, usaha untuk bertahan tampak menjadi lebih sukar ketika menempuhi pandemik Covid-19 yang jelas memberikan kesan kepada semua pihak termasuk kelab-kelab Liga-M yang jelas terhad untuk mengintai dana tambahan kewangan apatah lagi status Liga-M dibuka masih belum diketahui.

Pengajaran cukup bermakna kepada sebahagian kelab bahawa survival pasukan mereka tidak dapat bertahan lama jika masih kekal dengan zon selesa subsidi kerajaan dan tidak merangka pelan untuk mengangkat kelab mereka dalam industri global bola sepak.

Kata pepatah Inggeris, ‘better late than never’, justeru kelab-kelab Liga-M tidak perlu berasa malu untuk terus pelajari selok belok perniagaan bola sepak dan menggunakan apa jua cara dalam memastikan kelangsungan pasukan mereka dalam keadaan terjamin.