'Kami maafkan semua kecaman warganet'

Berita berkaitan ibu mengandung yang merupakan mangsa Covid-19 di Kelantan mendapat perhatian dan kecaman ramai.
Berita berkaitan ibu mengandung yang merupakan mangsa Covid-19 di Kelantan mendapat perhatian dan kecaman ramai.
A
A
A

KUALA KRAI - "Kami maafkan dan halalkan semua kecaman warganet. Kami tidak meminta perkara yang menakutkan ini berlaku, lebih-lebih lagi kepada isteri yang sarat mengandung.

Demikian luahan lelaki yang dikenali sebagai Nahiz, 32, suami kepada seorang wanita mengandung yang dikecam warganet selepas disahkan positif wabak Koronavirus (Covid-19).

Pasangan itu yang tinggal di Ampang, Kuala Lumpur ke Kuala Krai kerana isteri mahu pulang bersalin di rumah ibu bapanya.

Nahiz mengakui dia amat terkejut sejurus mengetahui isterinya disahkan positif Covid-19.

“Ketika itu perasaan saya bercampur baur kerana perkara yang sebelum ini menjadi kebimbangan (Covid-19) tiba-tiba berlaku kepada orang tersayang.

"Sekiranya saya tahu dia positif Covid-19 sebelum pulang ke kampung. Pasti saya tidak akan membenarkan dia bersalin di Kuala Krai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dia terpaksa menghantar isterinya bersalin anak kedua di Kuala Krai atas faktor kekangan tugas sebagai juruteknik yang memaksanya terus berkhidmat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 'ragut' zon hijau Kelantan, Kedah

Artikel Berkaitan:

Nahiz berkata, isterinya dijangka bersalin antara seminggu hingga dua minggu selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Saya bimbang keselamatan isteri bersama anak sulung berusia 4 tahun di rumah kerana waktu pekerjaan saya tidak menentu.

Dia berkata, lebih mengejutkan kecaman yang dilontarkan kepada mereka terutama isteri melampaui batas.

Menurutnya, isterinya terpaksa menyahaktifkan akaun Facebook miliknya dan berdepan kemurungan akibat kecaman tersebut.

"Bagaimanapun saya lega apabila ‘emosi’ isteri berada dalam keadaan tenang dan kami sentiasa berhubung melalui telefon.

"Saya doakan isteri dan anak di dalam kandungan diberikan kekuatan untuk melalui semua ini dan cepat sembuh. Tiada orang yang meminta mereka ditimpa musibah, kami reda dengan ujian ini," katanya.

Nahiz berkata, dia berterima kasih pada keluarga yang sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada isteri untuk melawan penyakit tersebut,” katanya yang turut sebak mengenangkan ujian menimpa isterinya itu.