936 pemandu pelancong terima bantuan RM1,000

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 936 pemandu pelancong berlesen di negeri ini menerima bantuan RM1,000 secara one-off dari kerajaan negeri di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor bagi industri pelancongan yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif terbabit khusus bagi sektor pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Katanya, kerajaan negeri sedar pemain industri pelancongan begitu terkesan dengan pembatalan tempahan hotel serta pakej-pakej pelancongan, akibat daripada penurunan jumlah ketibaan pelancong asing dan domestik ketika ini.

"Justeru rangsangan Ekonomi Ihsan Negeri Johor dapat meringankan beban dihadapi industri pelancongan melalui beberapa langkah termasuk bantuan kepada pemandu pelancong berlesen. Pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pemilik syarikat pelancongan dan hotel bagi tahun 2020. Insentif ini melibatkan jumlah anggaran sebanyak RM894,211 yang memberi manfaat kepada 1,031 pemegang lesen perniagaan.

"Seterusnya pengecualian bayaran duti hiburan bagi taman tema dan pusat hiburan keluarga bagi tahun 2020. Pengecualian bayaran ini dianggarkan berjumlah RM3 juta,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Layang- layang berkata, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan masih dalam proses merangka strategi jangka pendek dan panjang bagi memulihkan serta mengembalikan daya saing industri pelancongan.

"Diharapkan agar segala insentif yang diperkenalkan ini akan membantu penggiat industri pelancongan, serta mampu meningkatkan semula pencapaian sektor pelancongan di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: