Lelaki Pakistan lemas ketika cuci tangan

Pasukan bomba berjaya menemui mangsa di dasar terusan selepas operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan. - Foto PDRM Perak Tengah
Pasukan bomba berjaya menemui mangsa di dasar terusan selepas operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan. - Foto PDRM Perak Tengah
A
A
A

PASIR SALAK - Seorang pekerja kontrak warga Pakistan ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam terusan sawah padi di Felcra Kampung Gajah, Jejawi, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Ali Shaukat, 28, dipercayai terjatuh ketika mencuci tangan di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya menjalankan kerja-kerja meracun di sawah berkenaan sejak jam 9 pagi.

“Mereka kemudiannya menunggang motosikal untuk mencuci tangan di terusan berhampiran. Mangsa sebelum itu turun ke tebing dan disedari hilang oleh dua rakannya. Mereka hanya menemui selipar dan baju milik mangsa yang digunakan untuk menutup muka,” katanya.

Barudin (dua dari kanan) turun ke lokasi kejadian bagi melihat operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di terusan Felcra Kampung Gajah, hari ini. - Foto PDRM Perak Tengah
Barudin (dua dari kanan) turun ke lokasi kejadian bagi melihat operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di terusan Felcra Kampung Gajah, hari ini. - Foto PDRM Perak Tengah

Menurutnya, rakan mangsa berusaha mencari mangsa di terusan sedalam 4.5 meter itu namun gagal dan memaklumkan kepada polis.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan selepas menerima laporan pada jam 11.25 pagi.

“Mayat mangsa ditemui dua jam kemudian di dasar terusan pada jam 1.35 petang oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar.

Artikel Berkaitan:

Barudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.