Ambil iktibar kes ibu hamil balik kampung positif Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak yang masih berdegil dan cuba curi-curi untuk pulang ke kampung berhari raya perlu mengambil iktibar dari kes wanita hamil yang disahkan positif koronavirus (Covid-19) selepas pulang ke kampungnya di Kuala Krai, Kelantan untuk bersalin pada 15 Mei lalu.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, apa yang berlaku itu boleh dijadikan pengajaran agar penularan jangkitan wabak itu dapat disekat.

"Yang belum balik kampung, saya nasihatkan tak perlu balik tetapi kalau perlu balik buat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu terutamanya yang ada simptom.

"Namun jika sudah berada di kampung, awasi pergerakan anak-anak, ibu bapa, atau sesiapa sahaja bagi mengelakkan risiko jangkitan wabak itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Dr Zubaidi Ahmad
Dr Zubaidi Ahmad

Terdahulu, wanita hamil yang pulang ke kampung dari Ampang ke Kuala Krai baru-baru ini untuk bersalin anak kedua didapati positif Covid-19 sedangkan dia langsung tidak menunjukkan simptom demam atau batuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Perantau bawa Covid-19 ke Kelantan

KKM siasat kes ibu mengandung positif Covid-19 di Kelantan

Artikel Berkaitan:

Covid-19 'ragut' zon hijau Kelantan, Kedah

Dr Zubaidi berkata, bagaimanapun yang menjadi masalah ketika ini, terdapat individu yang positif Covid-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom.

Katanya, apabila mereka itu pulang ke kampung kemudiannya menjangkiti pula orang lain yang mempunyai ketahanan diri lebih rendah seperti orang tua yang berusia 60 tahun ke atas, yang ada sakit kronik, turut menyebabkan komplikasi sehingga terdapat kes meninggal dunia.

Sementara itu, ketika mengulas sama ada mereka yang pulang ke kampung menerusi Gerak Malaysia baru-baru ini perlu dibuat ujian pengesanan Covid-19, Dr Zubaidi berkata, beliau tidak melihat keperluan perkara itu buat masa ini.

"Kena faham bahawa saringan seperti ujian swab ambil masa dua hari untuk peroleh keputusan.

"Sebagai contoh, yang balik ke Kelantan saja pun cecah lebih 100,000 orang, jadi kalau nak buat saringan hasilnya tidak efektif atau tidak berapa baik," katanya.

Katanya, untuk kes wanita hamil yang dikesan positif itu pula, fokus perlu dibuat kepada pengesanan kontak rapat pada peringkat ini.