X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Sumatera ditemui mati di Indonesia

Seekor harimau jantan ditemui mati di kawasan pemuliharaan di Siak, Riau, dengan kakinya terperangkap pada perangkap dawai disyaki dipasang oleh pemburu haram.
A
A

JAKARTA - Seekor harimau Sumatera ditemui mati di kawasan pemuliharaan di Siak, dekat wilayah pentadbiran Riau petang kelmarin dalam keadaan satu daripada kakinya tersangkut di perangkap dawai.

Bangkai harimau jantan itu ditemui oleh seorang penduduk yang melalui kawasan itu untuk pergi memancing berhampiran Kampung Minas Barat sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan yang kemudian menghubungi Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Riau (BKSDA).

Kira-kira pada jam 5 petang (waktu tempatan), pasukan BKSDA tiba di kawasan untuk mengambil bangkai harimau terbabit.

"Kaki kanan hadapan harimau itu cedera teruk akibat terpijak perangkap tersebut. Lukanya sangat dalam hingga menyebabkan jangkitan.

"Berdasarkan keadaan bangkai harimau itu, ia mungkin telah mati kira-kira seminggu akibat dehidrasi," kata ketua pasukan BKSDA, Suharyono semalam.

Pasukan itu kemudian membawa bangkai harimau tersebut ke ibu pejabat BKSDA di Pekanbaru untuk tujuan bedah siasat.

Katanya, seekor bangkai khinzir turut ditemui berhampiran jerat tersebut, menunjukkan bahawa harimau itu mungkin menjadi sasaran pemburu haram.

Harimau Sumatera ialah satu-satunya spesis harimau Kepulauan Sunda yang masih hidup dan telah disenaraikan sebagai haiwan terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semulajadi (IUCN) sejak tahun 2008.

Anggaran dari Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan menunjukkan populasi harimau Sumatera liar pada bulan Disember 2018 tidak lebih dari 600 ekor kerana kehilangan habitat dan menjadi mangsa aktiviti pemburuan haram. -Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus