BepiColombo berjaya masuk orbit Utarid selepas 8 tahun mengembara

Misi itu dijangka menawarkan pemandangan Utarid yang belum pernah disaksikan manusia.
Misi itu dijangka menawarkan pemandangan Utarid yang belum pernah disaksikan manusia.
A
A
A

PARIS - Prob penyelidik, BepiColombo hasil kerjasama Jepun-Eropah berjaya memasuki orbit planet Utarid selepas lapan tahun merentasi angkasa lepas, menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA) pada Ahad.

Menerusi platform X, ESA memaklumkan BepiColombo mencapai kedudukan orbit di sekeliling planet terkecil itu selepas mengaktifkan enjin pendorong selama lebih setengah jam. Ia juga memaklumkan prob itu sudah mula menganalisis data yang dikumpulkan sepanjang misinya.

Dilancarkan pada 2018, satelit seberat empat tan itu telah merentasi jarak lebih 10 bilion kilometer (km) dan melalui sembilan planet lain dalam perjalanannya menuju Utarid yang paling hampir dengan matahari.

Awal tahun lalu, Ketua Misi ESA, Santa Martinez memberitahu misi itu dijangka menawarkan pemandangan Utarid yang belum pernah disaksikan manusia selain membuka lembaran baharu dalam pemahaman mengenai sistem suria.

Mengikut perancangan awal, bahagian prob milik Eropah dan Jepun dijadualkan berpisah pada 9 dan 10 Disember sebelum bergerak mengikut orbit masing-masing untuk menjalankan kajian secara berasingan.

Utarid mengalami perubahan suhu yang sangat ekstrem iaitu serendah -180 darjah Celsius hingga mencecah 450 darjah Celsius selain sering terdedah kepada radiasi matahari yang sangat kuat.

Pada 1974, prob Mariner 10 milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjadi kapal angkasa pertama yang melakukan penerbangan lintas dekat dengan planet tersebut. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!