Hentikan gelombang rasuah

Kamaruddin M. Ripin
Kamaruddin M. Ripin
A
A
A

WALAUPUN negara sedang dilanda krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini, namun isu rasuah tidak pernah sunyi diperkatakan. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa bermula 18 Mac lalu, ada saja isu rasuah yang muncul menjadi tajuk berita utama di media.

Malah, dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-14 kelmarin, Seri Paduka turut menyentuh isu rasuah.

Seri Paduka berpesan, apa juga pelan dan program ke arah pembentukan sebuah negara maju yang stabil lagi makmur tidak akan tercapai jika negara terus dibelenggu dengan rasuah.

Begitulah gambaran mengenai isu rasuah di negara ini yang seolah-olah tiada redanya sehingga mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mengeluarkan satu kenyataan media memaklumkan bahawa telah menerima sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan dalam tempoh PKP bermula 18 Mac sehingga 21 April lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM juga telah menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan.

Dalam kes pertama, dua warga Pakistan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

Dalam kes kedua pula, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai telah merasuah pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kedua-dua kes itu, jelaslah bahawa perbuatan jenayah atau pelanggaran undang-undang termasuk rasuah tetap akan berlaku dalam apa jua keadaan.

Namun begitu, apa yang mencuri tumpuan ialah berkaitan data yang dikeluarkan SPRM tersebut, jumlah 286 maklumat dalam tempoh 35 hari waktu PKP itu bukanlah satu jumlah kecil.

Jika diperincikan, secara purata dianggarkan terdapat sembilan maklumat diterima dalam sehari, manakala selang sehari pula terdapat satu aduan berkaitan rasuah.

Apa tidaknya, ramai pakar yang menjangkakan bilangan kadar jenayah termasuk rasuah akan meningkat akibat desakan hidup di setiap lapisan golongan rakyat pada pasca-PKP nanti.

Memetik satu laporan media baru-baru ini, syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia, Green Zebras yang melakukan Kaji Selidik Persepsi Rakyat Malaysia Tentang Rokok dan Vape mendapati seramai 93 peratus responden cenderung untuk beralih kepada rokok seludup berikutan duti eksais yang tinggi.

Pengarah Urusan Green Zebras, Steve Murphy menjelaskan, perkara tersebut berlaku kerana pendapatan rakyat Malaysia terkesan akibat pandemik Covid-19 dan PKP. Apabila pendapatan menyusut, permintaan terhadap produk pasaran gelap yang lebih murah dijangka meningkat.

Berdasarkan dapatan ini, maka jangkaan peningkatan jenayah yang mendorong kepada perbuatan rasuah memang mempunyai asas khususnya dalam kalangan sektor penguatkuasaan.

Namun, apa yang lebih penting pada pasca-PKP nanti, rakyat dan SPRM perlu saling bekerjasama membantu negara meningkatkan ekonomi dengan mengurangkan ketirisan demi menyelamatkan harta negara daripada dilesapkan oleh penjenayah-penjenayah rasuah yang rakus. Jangan takut melaporkan rasuah kerana identiti pelapor dilindungi undang-undang.