Elak bawa kanak-kanak ke tempat awam: KKM

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Walaupun kerajaan masih belum memutuskan sebarang bentuk tindakan terhadap ibu bapa yang membawa anak ke tempat-tempat awam, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihat mereka agar mengelak berbuat demikian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu telah pun dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi tadi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membangkit perkara yang sama.

“Kita masih belum ada keputusan sama ada nak masukkan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi ke dalam akta kita. Jika kita masukkan maka tindakannya adalah dengan mengenakan saman berjumlah RM1,000 dan jika tidak boleh dibayar maka kes akan dibawa ke mahkamah.

“Jadi perbincangan telah dijalankan dan tindakan kita adalah meminta pihak polis memberikan nasihat serta amaran kepada mereka,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berharap rakyat Malaysia patuh kepada arahan agar tidak membawa anak-anak ke tempat awam dan juga di hospital bagi mengelakkan anak mereka daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa KKM juga sedang mempertingkatkan perkhidmatan bagi kesihatan mental rakyat khususnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Katanya, sehingga semalam, pihaknya telah menerima 8,380 panggilan secara keseluruhannya berhubung isu yang melibatkan emosi ketika kaunseling secara atas talian dilakukan.

“Isu pertama yang dibangkitkan adalah melibatkan tekanan, kebimbangan dan kemarahan akibat pelbagai faktor sosial seperti masalah kewangan, tiada pendapatan, berselisih faham dengan keluarga dan sebagainya adalah sebanyak 46.8 peratus

Artikel Berkaitan:

“Kedua melibatkan kebimbangan wabak Covid-19 (20 peratus), bantuan keperluan asas (6.9 peratus), masalah keganasan rumah tangga (6 peratus), kemurungan dan keresahan (2.4 peratus) serta keenam penderaan kanak-kanak (0.2 peratus),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihak KKM ada menyediakan perkhidmatan ‘ hotline’ agar mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat kaunseling daripada doktor-doktor mahu pun warga kerja KKM.