972 kes Covid-19 ada kaitan kluster Sri Petaling

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebanyak 972 mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan Sri Petaling susulan pengelasan semula data bagi kes yang telah dikenal pasti punca dan hubungkait jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan sama ada kes indeks atau generasi pertama hingga generasi kelima.

"Oleh itu, jumlah kes Covid-19 yang berkaitan dengan kluster perhimpunan Sri Petaling adalah 3,347 berbanding jumlah sebelum ini iaitu 2,375 kes," katanya.

Menurutnya, kluster dan sub kluster perhimpunan Sri Petaling kini menyumbang kepada 48 peratus daripada jumlah kes Covid-19 di negara ini.

"Sebanyak 33 kematian direkodkan bagi kluster ini," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, pengelasan semula data berikutan siasatan lanjut dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, lebih banyak kes Covid-19 yang sebelum ini dikelaskan sebagai masih dalam siasatan kini telah dapat dijumpai hubung-kait epidemiologi dengan kluster atau sub kluster sedia ada.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kluster tersebut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 3,347 daripada 40,613 bilangan sampel yang diambil telah disahkan positif Covid-19.

"Seramai 399 pesakit masih mendapat rawatan di hospital manakala 2,915 telah sembuh sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebanyak 370 buah madrasah dan pusat tahfiz telah disaring KKM yang melibatkan 20,186 pelajar, guru serta kakitangan.

"Sebanyak 14,293 sampel telah diambil dan 659 disahkan positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah positif, seramai 563 tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Hanya 96 individu sahaja dilapor mempunyai gejala Covid-19," katanya.

Pada perkembangan sama, KKM telah membuat saringan terhadap 362 buah pasar melibatkan 39,045 peniaga dan lain-lain.

"Sebanyak 30,975 sampel telah diambil dan 261 disahkan positif Covid-19," katanya.