10 ADUN dijangka angkat sumpah EXCO esok

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Tujuh nama disebut bakal dilantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) baharu Kedah, manakala tiga penyandang mungkin akan dilantik semula jawatan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah esok.

Antara nama-nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas disebut-sebut bakal dilantik sebagai Exco ialah ADUN Tokai, Datuk Dr Mohd Hayati Othman; ADUN Merbau Pulas, Datuk Siti Aishah Ghazali; ADUN Kupang, Briged Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad dan ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim.

Manakala, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dari Umno juga disebut-sebut akan menjawat salah satu portfolio pada Majlis angkat sumpah EXCO Kedah itu.

ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee (Bebas) turut dikatakan akan dilantik jawatan EXCO Kedah.

Tiga EXCO yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga dijangka bakal dilantik untuk memegang jawatan itu, iaitu ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad (Bersatu); ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad (Bersatu) dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin (Bebas).

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor turut dijangkakan akan mengalas tanggungjawab memegang portfolio tertentu.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Sanusi mula tugas sebagai MB Kedah hari ini

Malah, bekas Timbalan Speaker yang juga ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat juga disebut-sebut dilantik sebagai Speaker, manakala ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor pula dijangka bakal dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perikatan Nasional Kedah memiliki 23 ADUN melibatkan 15 dari PAS, empat dari Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua dari Umno dan dua dari Bebas.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kenderaan membawa beberapa ADUN Kedah berkenaan dilihat memasuki Wisma Darul Aman di sini dipercayai untuk menghadiri raptai angkat sumpah Exco Kedah.

Antaranya, Dr Robert (Sidam), Dr Mohd Hayati (Tokai), Siti Aishah (Merbau Pulas), Najmi (Kupang), Wan Romani (Bukit Pinang), Suraya (Sungai Tiang) serta Ku Rahman (Guar Chempedak), sekali gus menguatkan spekulasi itu.

Turut kelihatan, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi yang tersenyum dan sempat melambai tangan kepada petugas media berada di hadapan Wisma Darul Aman.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Mukhriz lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta-merta