Sila log masuk terlebih dahulu.

Mukhriz lepas jawatan MB Kedah berkuat kuasa serta-merta

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam memaklumkan, beliau hilang kepercayaan majoriti ADUN melalui undian sulit di hadapan Sultan Kedah, semalam.

Beliau turut mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah kepada Perikatan Nasional (PN), selain memaklumkan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) turut gugur.

“Saya juga sudah maklumkan melepaskan jawatan Menteri Besar kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pagi tadi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menteri Besar Kedah ke-13 itu hilang sokongan majoriti selepas enam ADUN Pakatan Harapan (PH) beralih menyokong PN, awal minggu ini.

Mukhriz berkata, pergolakan politik kepartian menyebabkan dua ADUN dari PKR meninggalkan PH, menyebabkan hilangnya majoriti pada gabungan Bersatu dan PH.

“Selepas itu, empat lagi ADUN Bersatu menerima arahan daripada Presiden Bersatu untuk lompat kepada PN, menyebabkan PN mempunyai 23 kerusi berbanding 13 dari PH termasuk dua dari Bersatu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz pada sidang media ketika mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz pada sidang media ketika mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya, beliau akur kerana seorang Menteri Besar harus meletakkan jawatan sekiranya terbukti kehilangan kepercayaan majoriti ADUN.

“Namun, saya dimaklumkan tiada satu pun ADUN Bersatu atau PKR yang meninggalkan PH menyatakan wujud masalah yang saya cetuskan sehingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Mereka menjawab telah mendapat arahan dari atas apabila ditanya alasan atas kehilangan kepercayaan itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau rela menjadi pembangkang berbanding menyertai gagasan politik yang dicemari pelbagai skandal bertaraf antarabangsa.

“Saya mendokong pendirian ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menolak sebarang kerjasama dengan UMNO kerana golongan kleptokrat masih menguasai parti itu. Oleh kerana Pas bekerjasama dengan UMNO melalui piagam Muafakat Nasional, saya tidak terima pelawaan mereka untuk bersama dalam PN Kedah. Saya tidak tergamak khianati mandat rakyat Kedah kepada PH pada PRU14. Dari hidup melutut, biar mati berdiri!,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau percaya tindakannya itu antara penyebab dirinya disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar Kedah.

“Pada masa sama, saya mencabar jawatan Presiden yang disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pemilihan parti Bersatu. Dr Mahathir pula memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat.

"Ternyata Muhyiddin membelakangi Bersatu untuk memihak kepada Pas dalam soal pelantikan Menteri Besar Kedah. Ini kali kedua beliau lakukan setelah menyebabkan jawatan Menteri Besar Johor dilepaskan Bersatu dan diserahkan bulat-bulat kepada UMNO,” katanya.

Malah dakwanya, jawatan Ketua Menteri Melaka juga dijanjikan untuk ADUN Bersatu, namun ia janji-janji kosong apabila ADUN Bersatu Melaka hilang arah dan menjadi milik UMNO.

“Apa pula nasib Menteri Besar Perak? Dengan enam Exco dari UMNO, tentunya jawatan Menteri Besar dituntut UMNO, MB Perak pula dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, menanti masa untuk rebah,” katanya.

Mukhriz berkata, beliau turut mengalami situasi sama pada 2016, akibat berseteru dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana penglibatannya dalam kes 1MDB dan sebagainya.

“Saya telah dipaksa undur apabila ADUN BN diarah menarik sokongan daripada saya. Ketika itu, hanya saya seorang digulingkan, manakala BN terus kekal sebagai kerajaan. Kali ini, bukan hanya saya, tetapi seluruh kerajaan PH Kedah dijatuhkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga ADUN Jitra berkata, pihaknya tidak berhasrat memanjangkan isu itu ke mahkamah berikutan Undang-Undang Tubuh Negeri menjelaskan terdapat keadaan Menteri Besar hilang majoriti perlu melepaskan jawatan.

Selasa lalu, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN, termasuk daripada Bersatu.

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila Pas kini menguasai 15 kerusi, PKR (lima), Amanah (empat), Bersatu kem Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu kem Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).