Gilakah Maszlee tolak jawatan?

A
A
A

BILA orang tanya saya mengapa Pakatan Harapan jatuh, saya sedar ada banyak sebabnya tetapi salah satu sebab signifikan ialah ia gagal memberi pengiktirafan yang sepatutnya kepada agamawan yang beramanah dan bervisi tinggi.

Kalaulah hero-hero Superman seperti Nietzsche, Al-Ghazali dan Konfucious hidup di tangan ekstremis liberal ini, sudah pasti Nietzsche akan diperlekehkan sebagai ‘gila’, Al-Ghazali dituduh sebagai teroris dan Konfucious disalib sebagai anti-gay dan anti-rahmatan lil-'aalamiin oleh mereka! Satu lagi hero Superman yang mereka memperlekehkan ialah Dr Maszlee Malik.

Mereka menggunakan pelajar yang tidak kenal ilmu falsafah untuk mengetengahkan konsep liberal seperti autonomi untuk jatuhkan Dr Maszlee sebagai Presiden UIAM tanpa memahami khilaf tentang makna autonomi dalam kalangan ahli falsafah barat sendiri! Laungan ‘Universiti Berautonomi’ digembar-gemburkan sehingga ada mahasiswa yang tidak kenal lagi makna adab sewaktu demonstrasi. Tetapi Dr Maszlee tetap senyum memberi botol air minuman kepada peserta demonstrasi. Baginya, mereka adalah umpama anak-anaknya. Mereka masih belajar. Maafkan.

Yup, maafkan tapi usah biarkan. Maka, sebagai Menteri Pendidikan, beliau pun berusaha untuk menjaga maslahat pelajar daripada perkara yang besar sehingga kepada yang sekecil-kecilnya seperti kasut. Beliau berusaha kurangkan beban kertas guru, meluluskan ramai permohonan guru untuk pindah ke tempat kerja yang mereka rasa gembira.

Beliau juga berusaha mengurangkan pendidikan exam-oriented kepada pendidikan practical-oriented supaya pelajar-pelajar kita memiliki kemahiran survival nanti.

Beliau kerap turun ke sekolah-sekolah untuk melihat sendiri masalah sekolah. Begitu banyak bantuan beliau beri untuk membaiki sekolah-sekolah yang daif.

Bahkan beliau memperkenalkan dua kursus baharu di mana semua pelajar universiti wajib ambil iaitu kursus Falsafah dan Isu Semasa dan kursus Penghayatan Etika dan Peradaban. Kedua-dua kursus itu bertujuan melahirkan mahasiswa yang peka dengan isu-isu semasa dan mampu menganalisisnya dari segi falsafah dan mempunyai faham etika dan peradaban yang tinggi.

Obsesi

Artikel Berkaitan:

Dari segi Islamisasi pula, ucapan beliau yang terakhir sebagai Menteri Pendidikan di pentas antarabangsa ialah pendidikan Tajdid-Oriented. Kefasihan beliau dalam memberi ucapan dalam bahasa Arab dan Inggeris menaikkan wibawa negara kita di kaca mata antarabangsa.

Tetapi golongan liberal ekstrem tetap memperlekehkan beliau sebagai Menteri Kasut Hitam!

Beliau hanya ingin memudahkan keluarga miskin bila anak mereka hanya mampu beli sepasang kasut sekolah. Tetapi obsesi terhadap UEC dan perasaan anti-tulisan jawi telah membuat mindset liberal menjadi diktator seperti Gestapo Nazi.

Tidak logik dan tidak liberal langsung memperjuangkan satu bahasa tetapi pada masa sama fobia kepada bahasa kebangsaan! Kalau benar-benar pegang pada konsep autonomi, mengapa tidak memperjuangkan bahasa kebangsaan sebagai identiti autonomi negara?! Ini ialah liberal yang tidak liberal.

Dr Maszlee pegang jawatan Presiden UIAM tanpa meminta gaji. Beliau lepaskan dengan mudah demi mendengar suara pelajar yang biadap terhadapnya. Beliau lepaskan jawatan Menteri bila beliau rasa beliau perlu buat apa yang sepatutnya buat sebagai menteri walaupun usaha beliau bercanggah dengan PH. Beliau berjuang bukan untuk parti. Bila beliau tidak diperlukan lagi oleh PH, maka tak perlulah mengemis kuasa.

Sekarang beliau dilantik untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Mara Corp. Gilakah tolak jawatan lumayan itu!

Bagi Dr Maszlee, amanah terhadap Simpang Renggam lebih utama pada zaman darurat Covid-19 ini. Masalah paling gila Dr Maszlee ialah beliau adalah Yang Berkhidmat (YB) dan pendidik, bukan ahli politik. Itulah Ustaz Maszlee.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak