Masir nafi sokong kerajaan Perikatan Nasional

Masir Kujat
Masir Kujat
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat menjelaskan bahawa beliau ialah anggota Parlimen pembangkang dan tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Jelasnya, beliau mendapati kedudukan kerusinya telah diletakkan bersama dengan anggota Parlimen Perikatan Nasional ketika pembukaan Sidang Parlimen di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

"Kedudukan kerusi telah ditetapkan, saya tiada pilihan selain duduk di tempat yang ditetapkan itu.

"Saya ingin menjelaskan, saya adalah Ahli Majlis Presiden PSB (Parti Sarawak Bersatu) dan PSB ialah parti pembangkang di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Saya tidak sepatutnya diletakkan oleh Speaker untuk duduk di barisan penyokong kerajaan Perikatan Nasional dan PSB tidak menyokong Perikatan Nasional," katanya menerusi satu kenyataan.

Pada Mac 2019, Masir yang merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada ketika itu mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dulu dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

PSB adalah parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Selain SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PRS dan Parti Demokratik Progresif (PDP) dulu membentuk Barisan Nasional (BN) Sarawak, sebelum ia dibubarkan untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Artikel Berkaitan:

Dengan penjelasan yang dibuat oleh Masir itu, jumlah kedudukan kerusi Perikatan Nasional hanyalah 113 kerusi yang membentuk kerajaan Persekutuan pada ketika ini.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Ketika ini, Pakatan Harapan mempunyai seramai 107 orang ahli Parlimen dan seorang lagi ahli Parlimen ialah Baru Bian yang mewakili Parlimen Selangau.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dihubungi mengesahkan bahawa Masir tidak menyertai PH.