Penjaja rayu MBS tangguh robohkan gerai

Antara penjaja yang hadir menunjukkan surat rayuan yang akan dihantar ke MBS dan Pejabat Menteri Besar hari ini.
Antara penjaja yang hadir menunjukkan surat rayuan yang akan dihantar ke MBS dan Pejabat Menteri Besar hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Penjaja di kawasan Garden Avenue dan Garden Home Seremban 2 merayu kerajaan negeri mempertimbangkan dan menangguhkan tempoh untuk merobohkan gerai di kawasan tersebut.

Wakil penjaja, Zulkifli Ibrahim berkata, seramai 22 penjaja di kawasan tersebut menerima notis daripada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang meminta semua pemilik premis merobohkan gerai dengan segera.

Katanya, pada 11 Mei lalu pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada MBS meminta penangguhan notis sitaan gerai makanan di kawasan itu tetapi sehingga kini tiada maklum balas daripada MBS.

"Majoriti penjaja di sini terdiri daripada golongan mereka yang berpendapatan rendah dan bergantung kepada perniagaan ini sahaja.

"Saya sudah berniaga di sini selama 10 tahun dan mengikut semua peraturan yang ditetapkan termasuk tidak berniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun kami tetap menerima notis supaya mengosongkan kawasan niaga dengan segera tanpa sebarang perbincangan," katanya kepada Sinar Harian.

Siti Suwadi
Siti Suwadi

Tambahnya, arahan dalam tempoh singkat menyebabkan mereka tidak sempat memikirkan tempat menyimpan perkakas niaga selain terjejas punca pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, peniaga diberi tempoh sehingga Jun tetapi mereka memohon diberi tempoh sehingga hujung tahun ini supaya dapat mencari alternatif lain.

Sementara itu, penjaja, Siti Suwadi, 51, yang berniaga di situ sejak lima tahun lalu berharap kerajaan negeri dapat campur tangan dan membantu menyelesaikan masalah penjaja.

"Memang mereka mencadangkan ruang niaga bagi menggantikan gerai kami tetapi tapak itu bukan jenis kekal dan kami perlu mengangkut semua barang niaga setiap hari," katanya.

Zulkifli menunjukkan surat rayuan mohon penangguhan kepada MBS dan Pejabat Menteri Besar.
Zulkifli menunjukkan surat rayuan mohon penangguhan kepada MBS dan Pejabat Menteri Besar.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Zazali Salehudin dalam kenyataannya memberitahu, semua penjaja terlibat akan disediakan tapak yang sesuai dengan syarat yang perlu dipatuhi.

Katanya, antara cadangan, penjaja dibenarkan berniaga di tapak penjaja setempat dengan syarat penjaja perlu membawa pulang semua barang perkakas niaga, membersihkan kawasan perniagaan setiap hari dan penjaja akan dilesenkan.

"Pihak MBS berharap perkara ini mendapat sokongan semua pihak terutama pemilik perniagaan berlesen, orang awam dan juga penjaja yang tidak berlesen," katanya.