Pokok mengkudu tumbang hempap kereta

Keadaan kereta yang dihempap pokok mengkudu di Kampung Raja Pagoh, Muar malam tadi.
Keadaan kereta yang dihempap pokok mengkudu di Kampung Raja Pagoh, Muar malam tadi.
A
A
A

MUAR - Seorang lelaki warga emas terselamat apabila sempat keluar dari kereta selepas pokok mengkudu tiba-tiba tumbang dan menghempap kereta yang dipandunya dalam kejadian di Kampung Raja Pagoh malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Bajuli Salimin yang berusia 70 tahun sempat memberhentikan Perodua Myvi yang dipandunya ketika kejadian berlaku.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Azis berkata, seramai enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

"Pokok mengkudu setinggi tiga meter tiba-tiba tumbang dan menghempap sebuah kereta Perodua Myvi yang melalui kawasan tersebut.

"Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu di dalam kereta itu. Mangsa sempat keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Jelasnya, operasi tamat kira-kira jam 8.35 malam.

Artikel Berkaitan: