S-Daico berperanan jadikan Selangor destinasi industri aeroangkasa

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menubuhkan Selangor Darul Ehsan Aerospace Industry Coordination Office (S-Daico) ke arah menjadikan negeri itu sebagai destinasi utama industri aeroangkasa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penubuhan unit khas di bawah Invest Selangor Berhad itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tahun lalu yang berperanan memperkasa dan melaksana Pelan Tindakan Hala Tuju Khusus Aeroangkasa Selangor.

Menurutnya, pelan strategi 10 tahun sehingga 2030 itu meliputi tiga fasa iaitu jangka pendek (satu hingga tiga tahun), sederhana (empat hingga tujuh tahun) dan panjang (lapan hingga 10 tahun) bergantung kemampuan kewangan, kepakaran dan ekonomi semasa.

"S-Daico akan berperanan sebagai petugas barisan hadapan bagi membantu pemain industri aeroangkasa menyalurkan maklumat, khidmat nasihat serta peluang pelaburan yang boleh diterokai.

"Unit khas itu juga akan menyelaraskan pembangunan projek menerusi 30 pelan tindakan yang meliputi tujuh insentif utama serta peruntukan kewangan bagi projek berkaitan," katanya pada sesi taklimat dan perkongsian S-Daico di Bangunan Sultan Slaahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Katanya, S-Daico juga akan bertindak sebagai urusetia Majlis Aeroangkasa Selangor dan mempromosikan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan termasuk pelabur asing.

"Selain itu, ia akan membantu mempromosikan syarikat kecil dan sederhana yang terlibat dalam industri itu serta menyediakan latihan khusus bagi memperkasakan tenaga kerja tempatan dengan syarikat antarabangsa.

"Penubuhan S-Daico sejajar dengan permintaan global dan pada masa ini 62 peratus syarikat berkaitan aeroangkasa beroperasi di Selangor meliputi 230 syarikat dan 20 institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri akan terus mempromosikan kawasan Serendah, Subang dan Sepang sebagai perindustrian khusus aeroangkasa.